PRN 6 negeri ujian SPRM tangani rasuah: Felix

Kota Kinabalu: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) wajar menjadikan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini sebagai medan terbaik untuk menangani amalan rasuah.

Ketua Pemuda, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Felix Joseph Saang berkata, ia selaras dengan misi Kerajaan Perpaduan yang menyatakan kesungguhan dan komitmen dalam usaha membenteras gejala rasuah. 

Felix Joseph Saang

Katanya, rakyat perlu memilih pemimpin yang berintegriti, berwawasan, beretika, telus untuk memimpin dan bukannya memilih pemimpin disebabkan rasuah ataupun politik wang.

“Tidak dinafikan, setiap kali pilihanraya terutama di kawasan luar bandar, kita mendengar banyak cerita-cerita di mana politik wang sering berlaku .

“Oleh demikian, saya percaya PRN di enam negeri kali ini adalah ruang terbaik untuk membuktikan amalan rasuah dan membeli undi dapat dinoktahkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Felix berkata, SPRM juga seharusnya komited dan terus memantau sebaiknya dalam mencegah amalan rasuah daripada berleluasa terutamanya sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, amalan rasuah dalam pilihanraya bukan saja mampu memusnahkan negara tetapi juga sekaligus merugikan rakyat dan membawa banyak keburukan dalam tempoh masa panjang.