Kempen Derma Darah Manggatal.

KOTA KINABALU: Masyarakat diminta hadir memberi sokongan kepada kempen derma darah yang akan diadakan di Dewan Manggatal, di sini, esok (Ahad).

Usaha murni itu diharap mendapat sambutan menggalakkan dan sekaligus membantu menambah keperluan darah di Unit Tabung Darah hospital di negeri ini.

Kempen berkenaan akan dirasmikan oleh Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah merangkap ADUN Inanam, Peto Galim. 

Chong Fook Yun

Pengerusi penganjur, Chong Fook Yun berkata, kempen berkenaan dianjurkan oleh Persatuan Insan Prihatin Sabah, Chong Trading dan WTS Gas Sdn Bhd dengan kerjasama Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam.

Katanya, ia juga akan dijayakan dengan kerjasama Persatuan Penderma Darah Negeri Sabah (Pendarah), Persatuan Bulan Sabit Merah, Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), TKK Gas, Ibis Styles Kota Kinabalu serta KRT Pekan Manggatal.

“Kempen ini diadakan ekoran kesedaran kekurangan bekalan darah di hospital yang sekaligus menimbulkan rasa tanggungjawab untuk membantu.

“Kempen yang akan diadakan di Dewan Manggatal itu akan bermula jam 9 pagi hingga jam 3 petang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fook Yun berkata, kempen ia bukan saja dapat memberi kesedaran awam tetapi juga menerima sokongan daripada penaja yang bermurah hati memberi sumbangan termasuk hadiah cabutan bertuah kepada penderma.

“Pelbagai hadiah menarik ditawarkan kepada penderma yang layak dan hadiah utama adalah sebuah motosikal dan wang tunai.

“Pihak Penganjur juga telah menyediakan 150 kampit beras 5 kilogram sebagai saguhati kepada penderma darah terawal,” katanya.

Sehubungan itu, Fook Yun berkata, pihaknya amat mengalu-alukan masyarakat kawasan sekitar untuk datang memberi sokongan dan seterusnya menderma darah.

Katanya, sebarang pertanyaan mengenai program derma darah ini boleh menghubungi terus Pengerusi Penganjur kempen ditalian 013-8745611.

Tamat