Perkasakan Wanita, beri tumpuan kepada ibu muda
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memperkenalkan Dasar Wanita Negara 2025–2030 sebagai langkah memperkasa wanita, khususnya ibu muda yang berdepan pelbagai cabaran kehidupan moden.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata dasar bertemakan ‘Memartabat Wanita, Memperkukuh Negara’ itu memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan kesejahteraan wanita dari pelbagai aspek, selaras dengan agenda Malaysia MADANI.
“Golongan ibu muda bawah usia 34 tahun membentuk satu pertiga daripada jumlah wanita di negara ini dan mereka mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada pembangunan negara.
“Namun, golongan ini memerlukan sokongan dari segi emosi, kewangan dan bimbingan dalam menyeimbangkan tanggungjawab keluarga serta kerjaya,” katanya pada Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, Ahad.
Majlis tersebut diserikan dengan kehadiran isteri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Toh Puan Faridah Tussin bersama-sama isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Panglima Juliah Salag.
Nancy berkata, tinjauan sempena Hari Ibu sebelum ini mendapati sembilan daripada 10 ibu mengakui peranan sebagai ibu hari ini lebih mencabar, terutama dalam aspek keseimbangan kerja dan keluarga.
Katanya, antara inisiatif di bawah dasar baharu itu termasuk Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), MamaCare, Program Wanita Bangkit, 2 Years Exit Programme, Gig@bit dan Volvo Iron Women.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada ibu tunggal dan suri rumah untuk mendapatkan latihan serta akses pekerjaan yang bersesuaian demi masa depan yang lebih baik,” katanya.
Dari segi penjagaan kesihatan, kementerian melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut menyediakan pendidikan keibubapaan, khidmat kaunseling, terapi minda, saringan HPV DNA dan subsidi mamogram.
Majlis sambutan kali ini yang bertemakan ‘Sentuhan KASIH Ibu’ turut menampilkan pelbagai aktiviti seperti Forum Inspire & Empower, Pakej Sayang Ibu, Saringan Kanser Reproduktif Wanita (WCaRe), pameran dan aktiviti kekeluargaan.
Sebagai menghargai jasa dan pengorbanan ibu, Anugerah Ibu Inspirasi 2025 disampaikan kepada Kasmirah Jaafar, seorang ibu tunggal yang membesarkan lima anak secara berdikari hingga berjaya dalam bidang pendidikan, perubatan dan kejuruteraan.
Turut diperkenalkan buat julung kali ialah Anugerah Ikon Ibu Muda yang dianugerahkan kepada selebriti, Dayang Ara Nabellah Awang Astillah atau Bella Astillah sebagai simbol inspirasi kepada golongan ibu muda di seluruh negara.-Penerangan.






