Lelaki pecah rumah curi seluar dalam wanita berjaya ditahan

Oleh FARDY BUNGGA


TENOM: Seorang penjenayah yang memecah masuk sebuah rumah di Kampung Saga, di sini, bukan saja mencuri barang kemas dan jam tangan, malah dilaporkan turut melarikan seluar dalam wanita.
Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira jam 8.30 malam itu, kelakuan pelik lelaki terbabit tidak kesampaian apabila berjaya dikesan jiran yang kemudiannya bertindak mengepung rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian itu disedari jiran mangsa yang terdengar bunyi kuat dari rumah bersebelahan.
Susulan itu, katanya beberapa penduduk kampung mengambil keputusan untuk melihat dan mengepung rumah berkenaan.
“Ketika itu, suspek lelaki tidak dikenali dilihat memanjat keluar dari tingkap sebuah bilik di bahagian belakang rumah.
“Suspek terus ditangkap oleh penduduk kampung dan merampas beberapa barangan yang dipercayai dicuri lelaki terbabit iaitu beberapa barang kemas, tiga helai seluar dalam wanita dan satu unit pemutar skru,” katanya ketika dihubungi.
Azmir berkata, penduduk kemudiannya menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan segera.
Katanya, sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan dipercayai milik suspek turut ditemui penduduk kampung.
“Sebaik pasukan polis tiba di lokasi, suspek terus ditahan dan pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai memasuki rumah itu melalui tingkap sebuah bilik bahagian belakang dengan kesan dipecahkan.
“Ketika kejadian, rumah berkenaan ditinggalkan oleh pemilik rumah yang berada di Kota Kinabalu.
“Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, siasatan masih dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah.

PECAH RUMAH … Suspek dipercayai masuk ke dalam rumah berkenaan melalui tingkap di belakang rumah.