Pekerja kontraktor dilapor hilang di hutan ditemukan selamat

Oleh FARDY BUNGGA


PENAMPANG: Pekerja kontraktor pembersihan pencawang milik Sabah Electricity yang dilaporkan hilang di Rimba Hill Lokawi, sejak petang Selasa lalu, ditemui selamat.
Lelaki berusia 48 tahun itu ditemukan pada jam 9.56 pagi dalam keadaan lemah, kira-kira 265 meter dari lokasi kerja pembersihan di Menara 11.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) mangsa dimulakan pada jam 6 pagi Rabu bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Sabah Electricity. 
Katanya, pasukan operasi kemudiannya menerima maklumat daripada kontraktor Sabah Electricity bahawa mangsa telah ditemui dalam keadaan selamat namun fizikalnya lemah.
“Mangsa difahamkan tergelincir sebelum terjatuh semasa membuat kerja-kerja pembersihan menara pencawang berkenaan.
“Pasukan operasi bersama agensi lain terus bertindak membawa turun mangsa seterusnya diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke hospital menggunakan Ambulans bulan sabit merah bagi mendapatkan rawatan lanjut. 
“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.30 petang,” katanya.
Terdahulu dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam, mangsa dikatakan masuk ke kawasan pencawang sejauh 500 meter dari jalan utama untuk kerja-kerja pembersihan.
Bagaimanapun, semasa balik ke lokasi asal, dua rakannya yang berada di depan mendapati mangsa hilang dan tidak keluar dari kawasan hutan sehingga jam 3.30 petang.
Selepas usaha mengesan mangsa gagal, kedua-dua rakannya terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan.

SELAMAT …. Mangsa ditemui dalam keadaan lemah kira-kira 265 meter dari pencawang sebelum dibawa keluar untuk mendapatkan rawatan.