Sudah tiba masa parti tempatan bertanding atas kekuatan sendiri

KOTA KINABALU: Ketua Exco Wiramuda Parti Solidariti Tanah Airku (StarSabah) Jordan Jude Ellron berkata sudah tiba masa semua parti politik tempatan di Sabah bertanding atas kekuatan sendiri tanpa membentuk gabungan pra-pilihan raya negeri (PRN).
Menurutnya rakyat wajar diberi kuasa sepenuhnya untuk memilih siapa yang layak mewakili mereka.
“Kerjasama politik seharusnya dibentuk selepas pilihan raya, bukan sebelum.
“Ia perlu diasaskan kepada kepercayaan dan mandat rakyat bukan kepada perjanjian sulit atau kepentingan politik jangka pendek.
“Hanya apabila suara rakyat benar-benar dihormati, barulah kita dapat mencapai kestabilan politik yang kukuh seperti yang berlaku di negara-negara demokrasi yang matang,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook.
Jordan menegaskan bahawa dalam mana-mana sistem demokrasi, kestabilan politik bukan berlaku sebelum pilihan raya, ia berlaku selepas pilihan raya.
“Malaysia merupakan contoh terbaik. Dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tiada parti atau gabungan yang berjaya memperoleh majoriti untuk membentuk kerajaan secara bersendirian.
“Keadaan ini menyebabkan ketidaktentuan politik dan memerlukan rundingan antara parti-parti untuk membentuk kerajaan baharu,” katanya.
Menurut Jordan, perkara seumpama itu juga lazim berlaku di negara-negara yang mengamalkan sistem Westminster, termasuk United Kingdom.
“Misalnya pada tahun 2010, Parti Konservatif di UK juga gagal mendapatkan majoriti. Bagi membentuk kerajaan, mereka telah bekerjasama dengan Parti Liberal Demokrat.
“Inilah contoh kematangan politik parti-parti bersaing secara sihat dalam pilihan raya dan kerjasama hanya berlaku apabila perlu, bukannya dipaksa. Rakyat tetap menjadi penentu utama,” katanya.
Namun di Malaysia, Jordan berkata kerjasama antara gabungan parti sering menimbulkan masalah.
“Jika kalah, ada yang menuduh rakan gabungan melakukan sabotaj. Jika menang, ada yang melupakan sokongan yang telah diberi dan tidak memberi kerjasama selepas itu.
Satu contoh yang jelas berlaku di kawasan Pensiangan. Dalam PRU15, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah membantu Barisan Nasional (BN) untuk menang.
“Namun selepas pilihan raya, tiada sebarang bentuk kerjasama diteruskan. Wakil BN langsung tidak bekerjasama dengan ADUN GRS, walaupun kemenangan tersebut dibantu oleh jentera GRS. Perkara sebegini menimbulkan masalah dan mencemarkan semangat demokrasi,” tambah beliau.
Beliau berkata penyelesaian kepada masalah itu sebenarnya mudah iaitu biarkan setiap parti dan calon bertanding secara solo.
“Serahkan kepada rakyat pilihan yang sebenar. Itulah erti demokrasi yang sebenar,” katanya.

Jordan Jude Ellron