Sawit Kinabalu serah OACP 2025-2029 kepada Ketua Menteri

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menyambut baik langkah Kumpulan Sawit Kinabalu memperkenalkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) 2025-2029, satu inisiatif strategik, bertujuan untuk memperkukuh budaya integriti dan tadbir urus yang baik di semua peringkat organisasi.
“Saya menggalakkan semua jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mencontohi pendekatan seperti ini dalam memperkukuh nilai integriti dan meningkatkan kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya.
Beliau menambah bahawa OACP merupakan satu inisiatif untuk mewujudkan pentadbiran yang cekap, berwibawa dan bebas rasuah.
Hajiji, yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu, berkata pelaksanaan OACP bukan sekadar untuk memenuhi kehendak dasar, tetapi ia harus menjadi norma dalam budaya kerja bagi GLC dan agensi kerajaan.
Ketua Menteri berkata demikian selepas menerima OACP Kumpulan Sawit Kinabalu yang diserahkan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Victor Ationg di Menara Kinabalu, dekat sini.
Turut bersama dalam kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri ialah pasukan Bahagian Integriti dan Governans Sawit Kinabalu.-JT

KENANGAN …. Hajiji, Victor (tiga dari kiri) dan pasukan Bahagian Integriti dan Tadbir Urus Sawit Kinabalu menunjukkan buku OACP 2025-2029.