PITAS: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi gambaran kemungkinan besar untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) tanpa Barisan Nasional (BN).
Bagaimanapun, Setiausaha Agung GRS Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, keputusan muktamad mengenai perkara itu belum ditetapkan sehingga Mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan yang dijangka berlangsung sama ada pada bulan ini atau awal bulan depan.
Menurutnya, GRS turut berkongsi pendirian yang sama seperti BN yang sebelum ini secara jelas menyatakan keengganan untuk bekerjasama dengan gabungan itu dalam PRN17.
“Keputusan muktamad belum dibuat sehingga kami mengadakan Mesyuarat Majlis Tertinggi untuk memutuskannya. Namun begitu, saya percaya presiden telah bertemu dengan semua presiden parti komponen GRS.
“Saya juga yakin beliau telah bertemu secara tidak rasmi dengan kepimpinan PH. Selepas bertemu dan mendapatkan maklum balas daripada semua ahli serta parti-parti sahabat kami, barulah keputusan dibuat sama ada mahu bergerak sendiri atau bekerjasama.
“Tetapi kalau saya tidak silap, Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS beberapa kali menekankan yang beliau mahu gabungan PH-GRS untuk menghadapi pilihan raya,” katanya kepada media ketika ditanya sama ada GRS akan bekerjasama dengan BN dan PH untuk menghadapi PRN17 di sini pada Selasa.
Beliau berkata, idea utama untuk meneruskan gabungan PH-GRS dalam PRN17 adalah demi kestabilan politik.
Masidi turut mengambil contoh Sarawak dengan melihat negeri itu menikmati kestabilan politik yang tinggi sekali gus berupaya untuk memberi tumpuan kepada pembangunan ekonomi.
Sehubungan itu jelasnya, Sabah turut berhasrat untuk mengikut jejak langkah sedemikian.
Dalam pada itu, beliau turut menyifatkan terdapat banyak cara untuk mentafsir situasi ketika ditanya sama ada GRS akan bertanding secara solo jika PH dan BN (yang kini bersekutu di peringkat Persekutuan) memutuskan untuk bergabung dalam PRN17.
“Kepimpinan BN/UMNO Sabah sudah banyak kali menyatakan yang mereka tidak mahu bekerjasama dengan GRS dan kami juga merasakan pendirian yang sama.
“Itulah hakikatnya dalam politik. Ahli dan pemimpin GRS juga beberapa kali menyatakan mereka lebih selesa dengan PH, tertakluk kepada agihan dan pembahagian kerusi.
“Mereka mendapati agak sukar untuk bekerjasama dengan BN atas sebab-sebab yang telah dinyatakan banyak kali sebelum ini,” katanya.









