Universiti Malaysia Sabah dan Bursa Malaysia jalin kerjasama

LABUAN: Pengarah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), Profesor Technologists (Ts). Dr. Shamsul Bahari Shamsudin menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat (Letter of Intent – LOI) antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Bursa Malaysia di Bilik Eureka, Bangunan Menara, UMSKAL.
Menerusi LOI itu, ia menandakan permulaan kerjasama strategik dalam memperkukuh literasi kewangan dan pendidikan pelaburan praktikal dalam kalangan mahasiswa di seluruh negara.
Ia turut diadakan sempena ulang tahun ke-10 Pertandingan Perdagangan Saham (Stock
Trading Competition – STC) UMS, yang dianjurkan oleh Kelab Kewangan Antarabangsa, Fakulti Kewangan Antarabangsa Labuan (FKAL).
Sejak diperkenalkan pada tahun 2015, inisiatif ini telah memberikan pendedahan kepada ribuan pelajar terhadap pasaran modal dan proses membuat keputusan kewangan sebenar.
LOI ini merupakan satu legasi penting buat UMS, memperkukuh peranan universiti sebagai peneraju dalam pendidikan kewangan berfokuskan pelajar.
Sepanjang sedekad yang lalu, UMS telah menjadi perintis kepada aktiviti pembelajaran
berasaskan pelaburan seperti simulasi perdagangan, kempen literasi kewangan,
ceramah pelaburan dan pertandingan inovasi yang bertujuan menyediakan pelajar untuk menghadapi realiti kewangan semasa.
Kerjasama bersama Bursa Malaysia ini turut merangkumi dua inisiatif utama iaitu penubuhan Bursa Young Investor Club (BYIC) di UMSKAL dan penyertaan aktif UMS dalam Bursa Inter-Varsity Stock Challenge (BISC) 2025.
BYIC akan menjadi platform pelajar bagi menganjurkan seminar pelaburan, permainan simulasi, pertandingan dan aktiviti berteraskan industri kewangan, dengan sokongan penuh dari Life Champ Sdn. Bhd., pengurus program rasmi yang dilantik oleh Bursa Malaysia.
Prof. Ts. Dr. Shamsul Bahari menegaskan bahawa majlis ini bukan sekadar simbolik, tetapi merupakan komitmen bersama untuk membina masa depan lebih cerah bagi pelajar, industri dan masyarakat.
Katanya, sekurang-kurangnya 100 pasukan pelajar UMS akan digerakkan bagi menyertai BISC 2025, yang dibimbing mentor industri dan penasihat fakulti.
Sebagai sebahagian daripada pelaksanaan LOI ini, UMS komited untuk menyediakan kemudahan dan penasihat fakulti iaitu Pensyarah Kanan Pelaburan Program Kewangan Antarabangsa FKAL, Dr. Aminah Shari bagi menyokong program BYIC di kampus.

KERJASAMA …. Prof. Ts. Dr. Shamsul Bahari (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Surat Hasrat di antara AA Deepa (tiga kiri) dan Dr. Geoffrey (tiga kanan).