Kecemerlangan anak-anak bermula di rumah

LABUAN: Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-28 Sekolah Kebangsaan Pekan Satu (SKPS) telah diadakan di Dewan C.U.N.
Mesyuarat ini merupakan salah satu program tahunan PIBG yang diadakan bagi membincangkan isu yang mungkin timbul serta mencari jalan penyelesaian di samping membina hubungan baik pihak sekolah dengan ibu bapa.
Mesyuarat kali ini juga turut membubarkan Ahli Jawatankuasa (AJK) PIBG sesi 2023/2025 dan pemilihan AJK PIBG yang baharu bagi sesi 2025/2027.
Majlis yang bermula pada pukul 7:30 pagi diserikan dengan persembahan Tarian Sambut Tamu daripada Kumpulan Eka Sukma yang dianggotai oleh lapan orang murid tahap dua aliran perdana SKPS yang dipimpin oleh Kelab Kebudayaan SKPS.
Guru Besar, Anita Syhamini S. Azman dalam ucapan alu-aluannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir.
Beliau menyeru semua ibu bapa untuk memberi sokongan yang jitu kepada AJK PIBG agar objektif-objektif PIBG yang ditetapkan dapat dicapai.
Mesyuarat itu dirasmikan oleh Penolong Pengarah Unit Sains dan Matematik, Jabatan Pendidikan WP Labuan, Nurul Hidayah Umar, merangkap Pegawai Angkat Sekolah.
Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, harus juga diingatkan kecemerlangan anak-anak kita sebenarnya bermula di rumah.
Sebagai ibu bapa, kitalah yang akan menentukan sama ada anak-anak kita terdidik dengan nilai-nilai yang murni dan mempunyai kekuatan dalaman untuk berhadapan dengan segala gejala positif dan negatif di luar rumah.
Turut diadakan taklimat kesihatan dan Student QR yang disampaikan oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif StudentQR, Syed Huzaifah Syed Omar sebagai pendedahan kepada ibu bapa.
Pada majlis itu, AJK PIBG sesi 2023/2025 menerima sijil penghargaan dan cenderamata.
Sementara itu, Airol Azmi telah dipilih sebagai Yang Dipertua PIBG baharu bagi sesi 2025/2027 hasil undian daripada semua ahli yang hadir.

IBU BAPA …. Kehadiran ibu bapa memeriahkan lagi mesyuarat agung kali ke-28.