Oleh FARDY BUNGGA
KINABATANGAN: Operasi mengesan seorang lelaki yang dipercayai dibaham buaya ketika memancing di Sungai Tampilit, Ladang Tomanggong, di sini, sejak semalam, masih gagal ditemui.
Komander Operasi, Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir berkata, operasi dimulakan dengan bantuan agensi lain sekitar radius pencarian sehingga tiga kilometer dari lokasi kejadian.
Katanya, operasi yang dilakukan menggunakan kaedah pencarian permukaan air turut dibantu penduduk kampung menggunakan bot masing-masing.
“Tiga anggota dari BBP Kinabatangan digerakkan ke lokasi sejauh 241 kilometer menggunakan kenderaan utiliti jenis Vigo untuk membantu.
“Operasi turut disertai empat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), tiga anggota tiga Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan kira-kira 40 orang awam,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pasukan penyelamat sudah mengadakan perbincangan bagi merangka kaedah pencarian lebih berkesan.
“Setakat ini, operasi masih diteruskan dan mangsa belum ditemui. Sebarang maklumat terkini akan dikemaskini dari semasa ke semasa,”katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang semalam, mangsa yang dikenali sebagai Mare Miri, 39, diserang reptilia berkenaan ketika memancing bersama empat rakannya.
Menurut salah seorang saksi kejadian, serangan berlaku secara tiba-tiba apabila reptilia berkenaan menyerang mangsa dari belakang.
“Kami nampak buaya itu muncul dari arah belakang dan terus menerkam Mare sebelum menariknya ke dalam air.
“Kami cuba membantu tetapi kejadian berlaku terlalu pantas,” katanya.






