Masa untuk bekerja, SAY dukung harapan Tanjung Keramat

PUTATAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Tanjung Keramat, Shah Alfie Yahya (SAY) menegaskan komitmennya untuk bekerja sepenuh hati dalam menyampaikan khidmat, bakti dan aspirasinya kepada rakyat sebaik menggalas amanah sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, tempoh selepas kemenangan pilihan raya adalah masa untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada perkhidmatan dan pelaksanaan agenda pembangunan di kawasan tersebut.
Jelasnya, aspirasi meningkatkan kualiti hidup masyarakat, memperkukuh pembangunan sumber manusia berteraskan ilmu, serta merancakkan aktiviti ekonomi belia dan komuniti akan menjadi antara tunjang utama pentadbirannya.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas kesempatan untuk memasuki fasa baharu sebagai wakil rakyat DUN Tanjung Keramat.
“Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para pengundi Tg Keramat kerana menunaikan kewajiban mereka, serta kepada jentera, penyokong dan semua pihak yang terlibat. Tanpa anda semua, saya tidak akan berada di sini.
“Insya-Allah, inilah masanya untuk kita bekerja dan berkhidmat demi masyarakat dan rakyat di Tg Keramat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengangkat sumpah sebagai ADUN Tanjung Keramat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.
Upacara berkenaan berlangsung di hadapan Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya.
Untuk rekod, SAY yang mewakili GRS memenangi kerusi DUN Tanjung Keramat dalam PRU DUN Sabah pada 29 November lalu dengan majoriti 1,153 undi dalam pertandingan 11 penjuru.-JT.

ANGKAT SUMPAH …. Shah Alfie mengangkat sumpah sebagai ADUN Tanjung Keramat secara rasmi di DUN Sabah pada Khamis