SEMPORNA: Sebanyak 1,318 ekor tapak sulaiman duri (Crown-of-Thorns Starfish atau COTs) berjaya disingkirkan dari kawasan terumbu karang di sekitar Pulau Tabawan dan Pulau Adal dalam operasi pemuliharaan marin selama dua hari, baru-baru ini.
Operasi itu dilaksanakan pasukan penyelam komuniti daripada Kumpulan Pemuliharaan Marin Komuniti (CMCG) Selakan, Larapan, Mabul dan Kunak susulan laporan mengenai peningkatan populasi spesies berkenaan yang mengancam ekosistem terumbu karang.
Pengurus Program Kanan Reef Check Malaysia Sabah, Adzmin Fatta berkata, sebanyak 742 ekor tapak sulaiman duri dikeluarkan di Pulau Tabawan manakala 576 ekor lagi di Pulau Adal.
Katanya, spesies itu menjadi ancaman serius kepada terumbu karang kerana memakan tisu karang hidup dan boleh menyebabkan kerosakan besar sekiranya populasinya tidak dikawal.
“Hasil tinjauan mendapati kebanyakan tapak sulaiman duri di Pulau Tabawan ditemui pada kedalaman 18 hingga 20 meter, manakala di Pulau Adal pula banyak ditemui di kawasan cetek antara satu hingga 10 meter.
“Keadaan ini membimbangkan kerana kawasan terbabit masih mempunyai habitat karang yang sihat dan terdedah kepada ancaman pemangsaan,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Menurutnya, pasukan turut mengesan kesan serangan tapak sulaiman duri pada komuniti karang serta menemui jaring hantu (ghost net) yang boleh menjejaskan kesihatan ekosistem marin.
Beliau berkata, walaupun fenomena pelunturan karang turut direkodkan di kedua-dua lokasi, tahapnya masih rendah iaitu kurang daripada 10 peratus.
“Usaha komuniti ini membuktikan tindakan pantas di peringkat akar umbi mampu membantu melindungi terumbu karang daripada ancaman yang semakin meningkat.
“Bagaimanapun, pemantauan berterusan perlu dilakukan terutama di kawasan Tabawan, Silumpat, Bakungan dan Adal bagi mengelakkan wabak baharu berlaku,” katanya.
Sementara itu, penyelam Kumpulan Pemuliharaan Marin Kunak-Darvel, Mohd Zaidi Morphy berkata, komuniti setempat mempunyai peranan penting dalam mengesan ancaman terhadap ekosistem marin lebih awal.
“Kami berada di laut hampir setiap hari dan mampu mengenal pasti perubahan yang berlaku sebelum ia menjadi lebih serius.
“Terumbu karang yang sihat bukan sahaja penting untuk hidupan laut, malah menjadi sumber rezeki kepada komuniti yang bergantung kepada sektor perikanan dan pelancongan,” katanya.
Reef Check Malaysia turut menggesa penyelam, nelayan dan pengusaha pelancongan di Sabah khususnya di Pantai Timur supaya melaporkan sebarang tanda pelunturan karang atau peningkatan luar biasa populasi tapak sulaiman duri bagi membolehkan tindakan segera diambil.

SUKARELAWAN …. Penyelam komuniti menunjukkan tapak sulaiman duri yang berjaya disingkirkan dalam operasi pemuliharaan terumbu karang di perairan Semporna.





