KOTA MARUDU: Kegiatan seorang lelaki yang dipercayai aktif mencuri kabel milik Sabah Electricity di daerah Pitas terbongkar apabila dia ditahan bersama 12 kilogram tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel curi dalam satu serbuan awal pagi Rabu.
Dalam operasi kira-kira jam 12.30 tengah malam di Kampung Salimpodon Laut, Pitas, polis turut merampas sebuah beg berisi tembaga yang dipercayai diperoleh daripada kabel yang dicuri dan belum sempat dijual.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, tangkapan itu dilakukan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.
Menurut beliau, suspek lelaki tempatan berusia 30 tahun dari Kampung Maringgan, Pitas dipercayai terlibat secara aktif dalam kegiatan mencuri kabel milik Sabah Electricity di kawasan Telaga, Pitas.
“Hasil pemeriksaan menemukan sebuah beg berisi tembaga seberat 12 kilogram yang dipercayai hasil kupasan kabel curi dan belum sempat dijual.
“Suspek kemudiannya ditahan dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Simiun berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati lelaki itu positif dadah jenis syabu.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan awam.
“Suspek turut akan direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada kejayaan tangkapan berkenaan.
Menurutnya, kerjasama masyarakat amat penting dalam usaha membanteras jenayah dan orang ramai digalakkan terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan sebarang aktiviti jenayah di kawasan masing-masing.

DITAHAN …. Seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri kabel milik Sabah Electricity ditahan bersama 12 kilogram tembaga yang dipercayai hasil kupasan kabel curi dalam serbuan di Kampung Salimpodon Laut, Pitas.







