Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Taktik seorang peniaga menyembunyikan ganja dalam bungkusan kurier gagal apabila berjaya diberkas polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah di Jalan Lintas, Kepayan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, lelaki berusia 30 tahun terbabit ditahan sebaik mengambil parcel yang disyaki mengandungi dadah berkenaan.
Difahamkan, operasi berkenaan dilaksanakan hasil maklumat dan kerjasama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Sabah.
Ketua JSJN Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, pihaknya menerima maklumat daripada AKPS pada 29 Mei lalu berkaitan parcel yang disyaki mengandungi bahan menyalahi undang-undang.
Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan pegawai dan anggota JSJN segera menjalankan operasi khas sebelum menahan suspek di kawasan Jalan Lintas, Kepayan.
“Ketika serbuan, suspek menyerahkan satu bungkusan plastik bertulis ‘Pos Laju’ kepada pasukan operasi.
“Pemeriksaan lanjut terhadap parcel itu menemukan satu bungkusan putih dan biru yang mengandungi dadah disyaki ganja dengan anggaran berat 46.66 gram,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Alhusin berkata, susulan tangkapan itu, pasukan serbuan turut melakukan pemeriksaan di rumah sewa suspek di Kota Kinabalu namun tidak menemui sebarang barang menyalahi undang-undang.
Katanya, ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati lelaki berkenaan positif tetrahydrocannabinol (THC).
“Nilai rampasan dadah dianggarkan sekitar RM400 dan semakan rekod mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah dan Seksyen 15(1)(a) akta sama kerana memasukkan dadah ke dalam badan,” katanya.
Menurutnya, JSJN Sabah akan terus mempergiat operasi dan tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyalahgunaan serta pengedaran dadah di negeri ini.
“Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti dadah dan akan terus mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

DIRAMPAS …. Bungkusan mengandungi dadah jenis ganja yang berjaya dirampas daripada suspek.








