Bandar Baharu Milenium bakal bawa perubahan besar kepada Tongod

TONGOD: Daerah Tongod yang selama ini dikategorikan antara 10 daerah termiskin di Malaysia dijangka mengalami transformasi besar menerusi pembangunan sebuah Bandar Baharu Milenium yang bakal menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi dan pembangunan setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah berkata, kawasan seluas 1,000 ekar akan dimajukan bagi projek berimpak tinggi itu menerusi kerjasama antara sektor swasta dan kerajaan negeri.
Menurut beliau, cadangan pembangunan berkenaan telah diumumkan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ketika merasmikan Pesta Kaamatan Peringkat Daerah Tongod baru-baru ini.
Sebelum itu, Hajiji bersama Masiung telah diberikan taklimat mengenai projek tersebut oleh delegasi Corak Nahkoda Sdn Bhd yang diketuai Pengarah Urusannya di Sabah, Robin Lim.
Terdahulu, Ketua Menteri turut merasmikan Bangunan Mahkamah Anak Negeri Tongod sebelum menghadiri majlis perasmian Pesta Kaamatan daerah berkenaan.
Masiung berkata, syarikat Corak Nahkoda telah menyatakan hasrat untuk menyediakan tanah seluas 1,000 ekar berhampiran Pekan Tongod bagi merealisasikan projek pembangunan mega yang disifatkan antara yang terbesar di pedalaman Sabah.
“Daripada jumlah itu, kira-kira 200 ekar akan diperuntukkan bagi membangunkan pusat pentadbiran kerajaan negeri, Persekutuan dan agensi-agensi kerajaan berkonsepkan mini Putrajaya.
“Jabatan dan agensi kerajaan yang kini beroperasi secara berasingan di seluruh daerah akan ditempatkan di pusat pentadbiran bersepadu yang dilengkapi kemudahan digital serta teknologi maklumat terkini,” katanya.
Menurut Masiung, Tongod kini sedang bersedia memasuki fasa transformasi baharu yang bakal mengubah wajah daerah yang dikenali sebagai The Heart of Sabah itu.
Beliau berkata, cadangan Bandar Baharu Milenium turut merangkumi pembinaan deretan bangunan komersial dua hingga empat tingkat, pusat beli-belah, stesen minyak, pasar raya, hotel serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
Selain itu, projek berkenaan turut melibatkan pembangunan kawasan perindustrian, perumahan kos sederhana dan mampu milik, hospital, sekolah, lapangan golf serta kemudahan rekreasi awam.
Masiung yang juga Pengerusi Kumpulan Sedco berkata, beliau akan mengadakan pertemuan lanjut bersama pengurusan Corak Nahkoda dan pihak berkepentingan bagi memperhalusi cadangan tersebut sebelum draf perjanjian dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, beliau yakin projek pembangunan bercampur itu mampu mengubah kedudukan Tongod yang sering dikaitkan dengan status daerah termiskin di negara ini.
Katanya, projek mega berkenaan dijangka merancakkan aktiviti ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan baharu serta membuka lebih banyak ruang perniagaan kepada penduduk tempatan.
“Bagaimanapun, semua komponen pembangunan yang dicadangkan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya. Beberapa elemen tambahan yang mampu memberi manfaat langsung kepada ekonomi rakyat akan turut dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata, Bandar Baharu Milenium itu bakal menjadi simbol transformasi moden yang dapat merapatkan jurang pembangunan antara kawasan pedalaman dan bandar di Sabah, khususnya di Pantai Timur negeri ini.
“Apabila pembangunan ini direalisasikan sepenuhnya dalam tempoh lima tahun akan datang, ia berpotensi menamatkan persepsi dan status Tongod sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia,” katanya.-Oleh John Tambanan.

TAKLIMAT …. Robin Lim (kiri) menyampaikan taklimat mengenai cadangan pembangunan Bandar Baharu Milenium kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, sambil diperhatikan Datuk Masiung Banah (kanan).