RM7.8 Juta Naik Taraf Jambatan Sungai Tiku, Siap November 2027

TAWAU: Projek menaik taraf Jambatan Sungai Tiku di Sin Onn Tiku bernilai RM7.8 juta dijangka menjadi penyelesaian jangka panjang kepada isu kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya apabila siap sepenuhnya pada 4 November 2027.
Ahli Parlimen Tawau, Datuk Lo Su Fui berkata, projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan itu telah bermula pada 26 Mei 2026 dan melibatkan pembinaan sebuah jambatan baharu jenis steel girder sepanjang 40 meter.
Menurut beliau, jambatan sedia ada yang hanya mempunyai laluan sehala sering menjadi punca kesesakan trafik selain berdepan risiko kerosakan yang boleh menjejaskan keselamatan pengguna.
“Projek ini bukan sahaja bertujuan menaik taraf infrastruktur, malah memberi penekanan kepada aspek keselamatan, keselesaan dan kelancaran pergerakan penduduk.
“Apabila siap kelak, jambatan baharu ini akan menyediakan laluan dua hala yang lebih selamat dan efisien untuk kegunaan masyarakat setempat,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kira-kira 50,000 penduduk serta pengguna jalan raya harian dijangka menerima manfaat daripada pelaksanaan projek berkenaan yang menjadi antara inisiatif penting dalam memperkukuh jaringan pengangkutan di kawasan Tawau.
Bagi memastikan pergerakan trafik tidak terjejas sepanjang tempoh pembinaan, satu laluan sementara akan dibina bersebelahan jambatan sedia ada bagi mengekalkan hubungan dan akses penduduk ke kawasan sekitar.
“Pembinaan laluan alternatif ini amat penting bagi memastikan aktiviti harian masyarakat dapat diteruskan tanpa gangguan, selain menjamin kelancaran pergerakan sepanjang projek dilaksanakan,” katanya.
Lo berkata, projek berkenaan bukan sekadar membina sebuah jambatan baharu, sebaliknya berperanan sebagai pemangkin kepada peningkatan kesalinghubungan, mobiliti penduduk dan pertumbuhan ekonomi setempat.
“Apabila siap nanti, projek ini bukan sahaja mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, malah meningkatkan tahap keselamatan serta keselesaan pengguna jalan raya secara menyeluruh,” katanya.

TINJAU PROJEK …. Lo ketika mengadakan lawatan kerja ke Jambatan Sungai Tiku, Sin Onn Tiku bagi meninjau keadaan semasa serta perkembangan pelaksanaan projek naik taraf jambatan berkenaan.