Oleh JOHN TAMBANAN
TAMBUNAN: Prinsip kepimpinan dan perjuangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Tambunan yang konsisten mendorong 500 bekas ahli Parti STAR Sabah mukim Monsorulung dan Mukim Lintuhun menyertai parti itu.
Mantan Wiramuda STAR Mukim Monsorulung Jaibie Joseph yang mewakili kumpulannya berkata, mereka memilih untuk menyertai PGRS, kerana parti itu yang diterajui Ketua Bahagiannya, Dato’ Victor Peter Paut memiliki prinsip kepimpinan yang berwawasan serta mampu menjamin kestabilan yang berterusan.
“Biasanya kumpulan tertentu akan keluar parti saat menjelang pilihan raya namun kami memilih untuk melakukanya selepas pilihan raya,” katanya.
Wakil Mukim Lintuhun, Jackly Jamari pula berkata, sudah tiba masanya bekas anggota STAR Sabah di kawasannya berhijrah demi kesinambungan perjuangan yang konsisten apatah lagi parti Gagasan Rakyat berada di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor sebagai Presiden manakala di peringkat bahagian pula diterajui oleh Dato’ Victor Peter Paut, yang nyata mempunyai daya kepimpinan yang lebih mapan.
Mengulas kemasukan beramai bekas ahli STAR itu, Victor berkata, ia akan mengukuhkan lagi parti itu dan juga Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, Kerajaan GRS di bawah pimpinan, Hajiji telah terbukti mampu membawa kesinambungan pembangunan, kestabilan dan kemakmuran negeri ini.
“Kepimpinan Hajiji sudah diuji lima tahun lalu, di mana rakyat amat yakin dan percaya bahawa Kerajaan Negeri Sabah yang ada hari ini adalah pilihan tepat untuk mereka.
Di sini pula (Tambunan), kita harus terus bersama-sama di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji kerana kita harus bersatu padu demi kemakmuran dan kesejahteraan rakyat jelata,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis 3 Dalam 1 di Kampung Tikolod, pada Ahad.
Menurutnya, pembangunan, Kemajuan dan kemakmuran itu menjadi realiti di bawah kepimpinan atau teraju yang wibawa, matang politik dan prihatin terhadap nasib rakyat.
“Berbagai inisiatif telah terbukti berkesan sepanjang Kerajaan GRS memimpin negeri ini yang turut melibatkan pembangunan infras di luar bandar, pembangunan belia kreatif, pendanaan niaga, peluang kemahiran dan inisiatif pendidikan untuk anak-anak kita,” katanya lagi.
Victor, yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, menegaskan Tambunan harus bangkit dan perlu terus mengejar pembangunan dan kemajuan setara dengan daerah-daerah lain di Sabah.
“Tambunan agak jauh ketinggalan dan sangat memerlukan peremajaan serta harus keluar dari kepompong lama agar ianya lebih gah lagi terutamanya dari segi pelancongan, keluaran komoditi dan pasaran terhadap produk-produk khusus dari sektor pertanian, kraftangan etnik, budaya dan pembangunan kreatif.
Kesemua ini tidak akan berhasil sekiranya kita semua masih di takuk lama, kurang bersatu padu, agak ekstrim berpolitik dan taksub dengan sentimen-sentimen negatif yang boleh merugikan rakyat, yang akhirnya merencat pembangunan yang diimpikan,” katanya.
Majlis penyerahan borang berkenaan yang disifatkan Victor amat istimewa telah berlangsung pada Majlis 3 Dalam 1 yang dirasmikannya di Kampung Tikolod, Tambunan pada Ahad.
Dalam majlis berkenaan, Victor turut menyarungkan baju PGRS kepada wakil-wakil kumpulan tersebut setelah menyerahkan borang-borang keahlian baharu anggota PGRS itu kepada Setiausaha Bahagian parti.

Victor mengalukan penerimaan borang PGRS daripada 500 bekas ahli STAR Sabah, diwakili Jaibie Joseph dan Jackly Jamari pada majlis penyerahan borang keahlian PGRS di Kampung Tikolod, Tambunan pada Ahad.






