Oleh FARDY BUNGGA
KOTA MARUDU: Status projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Langkon, di sini, yang dilaporkan masih belum siap walaupun telah terbengkalai selama 16 tahun perlu penyelesaian segera.
Menteri Pendidikan, Sains dan Teknologi Sabah, Datuk James Ratib berkata, beliau bimbang dan keprihatinan serius terhadap perkembangan itu yang menjejaskan perkembangan pendidikan di kawasan berkenaan.
Katanya, keadaan yang berlarutan lebih sedekad itu bukan sahaja memberi kesan kepada aspek kemudahan dan keselesaan pembelajaran.
“Malah ia turut menjejaskan usaha mewujudkan persekitaran pendidikan yang lebih kondusif dan berkualiti kepada para pelajar.
“Adalah amat mendukacitakan apabila sebuah projek sekolah yang begitu penting kepada masyarakat setempat masih belum dapat disiapkan selepas 16 tahun.
Anak-anak di Langkon berhak menikmati kemudahan pendidikan yang sempurna seperti pelajar lain di negeri ini,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, setakat ini, seramai 650 murid terpaksa menunggu terlalu lama dan mereka tidak seharusnya terus berdepan dengan situasi menumpang untuk mendapatkan pendidikan yang merupakan hak asas setiap anak.
Katanya, isu tersebut memerlukan perhatian dan tindakan segera semua pihak berkaitan memandangkan pendidikan merupakan keutamaan yang tidak boleh dikompromi.
Sehubungan itu, James berkata, beliau akan membawa isu berkenaan terus kepada perhatian Menteri Pendidikan Malaysia bagi mendapatkan penyelesaian segera.
Katanya, ia memerlukan tindakan susulan yang sewajarnya demi memastikan projek tersebut dapat diteruskan dan disiapkan dalam kadar segera.
Sehubungan itu, James berharap kerjasama erat antara Kerajaan Negeri Sabah dan Kerajaan Persekutuan dapat diperkukuhkan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap projek berkenaan demi kepentingan para pelajar, guru dan komuniti setempat.
“Setiap anak Sabah berhak mendapat akses kepada kemudahan pendidikan yang selamat, selesa dan berkualiti. Kita tidak mahu generasi muda terus menanggung kesan kelewatan projek yang sepatutnya telah lama diselesaikan.
“Sudah tiba masanya penyelesaian konkrit dilaksanakan agar warga SMK Langkon dapat menikmati kemudahan sekolah yang sewajarnya selepas 16 tahun penantian,” katanya.

James meninjau keadaan sekolah yang terbengkalai.

SMK Langkon masih belum siap walaupun telah terbengkalai selama 16 tahun.








