SEMPORNA: Semporna bakal bergema dengan keindahan seni budaya tempatan apabila Pertandingan Persembahan Igal Terbaik dianjurkan oleh Atuk Ukung pada 13 hingga 14 Jun 2026.
Acara kemuncak pertandingan ini akan berlangsung pada 20 Jun (akhir) dan diikuti dengan majlis penutupan serta penyampaian hadiah pada 21 Jun 2026.
Pertandingan yang akan diadakan di Pasar Tamu Atok Ukung bermula jam 7.30 malam hingga 11.30 malam ini menampilkan iringan muzik tradisional Tagungguk, dengan penyertaan terbuka kepada lelaki dan perempuan termasuk golongan belia serta kanak-kanak.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah Luvak-luvak, Tarirai, Lelang, dan Lelang Guna Bola bola.
Pengerusi penganjur, Julkalani Abd Rahman, menegaskan bahawa pertandingan ini bukan sahaja mengangkat keindahan tarian tradisional Igal, tetapi juga memperkukuh identiti budaya masyarakat Bajau-Suluk di Semporna.
“Kami mahu memastikan seni Igal terus hidup dan dikenali, bukan sahaja di Semporna tetapi juga di peringkat lebih luas,” katanya.
Penganjur merakamkan penghargaan kepada Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah atas penajaan acara ini.
Dengan gabungan persembahan tarian, muzik tradisional, dan semangat komuniti, pertandingan ini dijangka menjadi salah satu acara budaya paling dinanti tahun ini, menarik minat pengunjung tempatan serta pelancong yang ingin menyaksikan program berimpak tinggi.

Menjunjung budaya… Julkalani bersama penari Atok Ukung.







