Program Gotong-Royong Mukim Tambalang 13 Jun

TUARAN: Pejabat DUN Sulaman bersama Pusat Khidmat ADUN Dilantik akan menganjurkan Program Gotong-Royong Mukim Tambalang pada 13 Jun 2026 bermula jam 2.00 petang.
Program ini akan berlangsung di kawasan hadapan jalan simpang RTM Lama dan Kompleks Sukan Tuaran dengan fokus utama membersihkan kayu tumbang serta pokok yang terbakar di tepi jalan.
Usaha ini diadakan demi memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta mewujudkan persekitaran yang lebih bersih dan selamat,
ADUN Dilantik, Datuk Kassim Haji Razali, menegaskan bahawa gotong-royong ini bukan sahaja bertujuan menjaga keselamatan, tetapi juga memperkukuh semangat kebersamaan masyarakat.
“Kita jemput semua penduduk Mukim Tambalang untuk hadir beramai-ramai menjayakan program ini demi kebaikan dan faedah bersama,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat gotong royong dan laporan keselamatan di Pusat Kebudayaan Bajau Sama di Lok Batik.
Mesyuarat itu turut dihadiri Pengerusi JKKK dan Ketua Kampung Mukim Tambalang, wakil wakil jabatan kerajaan seperti JKR dan APM.
Penduduk yang hadir digalakkan membawa peralatan masing-masing bagi melancarkan aktiviti pembersihan.
Kehadiran masyarakat, agensi agensi kerajaan serta pimpinan Mukim Tambalang juga amat dialu-alukan sebagai tanda sokongan terhadap usaha murni ini.

Mesyuarat …. Kassim Razali mempengerusikan mesyuarat program gotong royong Mukim Tambalang.