RM1.5 bilion: Langkah positif ke arah penyelesaian hak kewangan Sabah

KUDAT: Ketua Cabang Keadilan Kudat merangkap Bendahari MPN Keadilan Negeri, Stefly Said, menyambut baik pengumuman Kerajaan Persekutuan berhubung peningkatan Bayaran Khas Interim kepada Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion bagi tahun ini.
Beliau menyifatkan langkah itu sebagai perkembangan positif yang mampu memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri serta mempercepatkan pelaksanaan agenda pembangunan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
“Peningkatan ini menunjukkan bahawa isu hak kewangan Sabah terus diberikan perhatian oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri.
Walaupun bayaran ini bersifat interim, ia mencerminkan kesediaan kedua-dua pihak untuk mencari penyelesaian terbaik berhubung pelaksanaan hak Sabah seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan.
Stefly menegaskan bahawa isu pembayaran 40 peratus hasil kepada Sabah adalah perkara kompleks yang memerlukan penelitian dari aspek perundangan, kewangan dan pentadbiran.
Justeru, katanya, ruang dan masa sewajarnya perlu diberikan kepada pasukan rundingan untuk memuktamadkan mekanisme pembayaran yang adil dan mampan.
“Bayaran interim RM1.5 bilion ini tidak seharusnya dilihat sebagai titik akhir, tetapi sebagai langkah penting dalam proses yang sedang berjalan.
Fokus utama ialah memastikan rundingan dapat diteruskan dalam suasana konstruktif demi mencapai penyelesaian jangka panjang,” jelasnya.
Beliau turut menghargai pendekatan kerjasama antara Kerajaan Negeri Sabah di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dan Kerajaan Persekutuan yang dipimpin Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menangani isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah.
Dalam masa sama, Stefly mengingatkan agar semua pihak mengelakkan polemik politik berlebihan yang boleh menjejaskan usaha mencari penyelesaian.
“Keutamaan kita seharusnya tertumpu kepada hasil yang memberi manfaat sebenar kepada rakyat Sabah, bukan persaingan untuk keuntungan politik,” katanya.
Beliau berharap momentum semasa dapat diteruskan sehingga formula menyeluruh berhubung pembayaran 40 peratus dapat dimuktamadkan.
“RM1.5 bilion adalah satu kemajuan yang harus dihargai, manakala tuntutan 40 peratus kekal sebagai matlamat yang perlu diperjuangkan secara berhemah dan konstruktif,” katanya.

Stefly Said… Ketua Cabang Keadilan Kudat