Oleh FARDY BUNGGA
LAHAD DATU: Seramai 64 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia berjaya ditahan dalam Operasi Bersepadu Daerah Lahad Datu yang diselaraskan Eastern Sabah Security Command (Esscom) pada 16 dan 17 Jun lalu.
Operasi melibatkan 262 pegawai dan anggota agensi penguatkuasaan itu turut mengesan pelbagai kesalahan melibatkan imigresen, pelesenan dan kastam dengan nilai keseluruhan kompaun dan rampasan dianggarkan sebanyak RM623,450.
Komander Esscom, Datuk Victor B. Sanjos berkata, operasi berkenaan dilaksanakan bagi memastikan pematuhan undang-undang di Zon Selamat Sabah Timur (ESSZone), selain membanteras kehadiran PATI dan aktiviti ekonomi tidak sah.
Katanya, seramai 247 individu berjaya diperiksa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan membawa kepada penahanan 64 individu warga asing.
“Semua PATI terbabit ditahan untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63, selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Esscom tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang sehingga menjejaskan keselamatan, ekonomi dan kesejahteraan masyarakat di ESSZone,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, dalam operasi sama, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) mengeluarkan 11 kompaun dan memulakan dua tindakan pendakwaan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Akta Kerja 1955 dengan nilai penguatkuasaan sebanyak RM133,000.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pula mengeluarkan 10 saman, sembilan notis penguatkuasaan serta tiga kompaun, manakala Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) IPD Lahad Datu mengeluarkan 32 saman atas pelbagai kesalahan trafik.
Operasi turut menyaksikan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas minuman keras tanpa lesen dan rokok seludup bernilai kira-kira RM30,000.
Ia diikuti tindakan penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang mengeluarkan satu kompaun berkaitan kesalahan kawalan harga.
Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) pula berjaya merampas 150 kilogram kabel sambungan haram dan 23 unit pam air yang menggunakan bekalan elektrik secara tidak sah dengan nilai rampasan RM14,800.
Sehubungan itu, Victor berkata, kegiatan penyambungan haram ini telah menyebabkan anggaran kerugian hasil sehingga RM429,600 setahun selain mengundang risiko kebakaran dan membahayakan keselamatan penduduk.
Katanya, kejayaan operasi tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan penguatkuasaan bersepadu yang menggabungkan elemen keselamatan, penguatkuasaan undang-undang dan kawal selia bagi memastikan ESSZone kekal selamat, teratur dan kondusif untuk pembangunan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dan menegaskan Esscom akan terus memperhebat operasi di bawah Operasi Sanggah selaras dengan slogan ‘Tiada Hari Tanpa Operasi’.

Pasukan operasi berjaya merampas pelbagai barangan termasuk minuman keras dan kabel elektrik.




