Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Kewangan mensasarkan penyertaan sehingga 10,000 kedai kecil khususnya di kawasan pedalaman dan luar bandar dalam pelaksanaan program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, usaha itu bakal memberi manfaat kepada usahawan kecil bagi memasarkan produk tempatan yang layak dibeli menggunakan bantuan berkenaan.
Katanya, setakat ini, lebih 150,000 jenis produk boleh dibeli menerusi program SARA dan kerajaan akan terus menambah bilangan produk serta penyertaan usahawan tempatan.
“Sehingga kini di seluruh Malaysia, dalam produk-produk yang boleh dijual di bawah SARA, lebih daripada 150,000 jenis barangan telah ada di dalam kedai SARA ini.
“Sehingga kini, kita sudah mendaftarkan sebanyak 13,500 kedai di bawah SARA dan lebih daripada 6,500 kedai adalah berskala kecil.
“Usaha diteruskan untuk menambah jumlah kedai-kedai kecil ini kepada tahap 10,000 kedai di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri Sesi Turun Padang di kedai SARA di Kedai Tsen Kyun Kee, Manggatal, di sini.
Amir berkata, bagi negeri Sabah, setakat ini sebanyak 1,493 premis telah berdaftar di bawah program SARA, meliputi bukan sahaja kawasan bandar tetapi juga kawasan luar bandar dan pedalaman.
Katanya, usaha itu adalah untuk mengurangkan jarak perjalanan penerima bantuan dan memastikan kemudahan ini dapat dinikmati oleh rakyat di seluruh Sabah khususnya di kawasan pedalaman.

Amir meninjau sebuah pasaraya di kawasan Manggatal.





