Lapan ditahan di Tawau, Lahad Datu terbabit kes rogol, pecah rumah, simpanan haram minyak sawit dan dadah

TAWAU: Polis menahan lapan individu dalam beberapa operasi berasingan yang dijalankan di Tawau dan Lahad Datu pada 17 Julai lalu, membabitkan pelbagai kesalahan termasuk rogol, pecah rumah, penyimpanan haram minyak sawit mentah (CPO) dan penyalahgunaan dadah.
Di Tawau, seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun ditahan kerana disyaki merogol seorang gadis orang kurang upaya (OKU) yang menghidap Gangguan Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif (ADHD).
Suspek ditahan di sebuah rumah di Kampung Ranggu, Batu 10, Jalan Apas selepas polis menerima laporan berhubung kejadian itu.
Mangsa dibawa ke Hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan selepas anak angkatnya membuat laporan bahawa mangsa mengadu mengalami kesakitan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Superintendan Wilynton Enchana Watt, menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes itu kerana boleh mengganggu siasatan serta menjejaskan privasi mangsa.
Dalam kes berasingan, Pasukan Strike Team Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun di Kampung Vietnam kerana disyaki terbabit dalam kes pecah rumah.
Polis merampas beberapa barangan yang dipercayai hasil curi, termasuk sebuah beg galas, pakaian sukan, soket sambungan elektrik dan sepasang but bola sepak.
Suspek yang didapati berkelakuan mencurigakan turut mempunyai rekod lampau membabitkan kes curi, dadah dan perjudian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, Pasukan Polis Marin Sabah menahan dua individu serta merampas sebuah lori seberat 38 tan yang membawa kira-kira 30,000 liter minyak sawit mentah (CPO) bersama beberapa tong simpanan dalam satu operasi di sebuah premis di Kampung Nasib Kita, Balung.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM400,000. Kes disiasat mengikut Peraturan 5(1)(d) Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005.
Di Lahad Datu pula, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Kontinjen Sabah menahan empat individu dalam Op Tapis yang dijalankan di beberapa lokasi.
Seorang lelaki berusia 47 tahun ditahan di tepi jalan Kampung Bangkuruan selepas polis menemui 0.15 gram syabu bernilai kira-kira RM10.
Seorang lagi suspek berusia 28 tahun ditahan di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah selepas didapati positif dadah.
Polis turut menahan seorang lelaki berusia 45 tahun di Fajar Centre kerana disyaki memiliki 87.88 gram ganja mampat bernilai kira-kira RM1,000 yang dipercayai dihantar melalui pos dari Semenanjung Malaysia.
Seorang wanita berusia 43 tahun turut ditahan di Kampung Bakau Baru bagi membantu siasatan.
Kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 12(2), 15(1)(a) dan 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dua individu yang ditahan Pasukan Polis Marin dalam operasi di Kampung Nasib Kita, Balung, Tawau.