Lelaki maut dibaham buaya, keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran di Kinabatangan

KINABATANGAN: Dua kejadian tragis berlaku di daerah ini dalam tempoh kurang 24 jam apabila seorang lelaki maut dibaham buaya, manakala sebuah keluarga kehilangan tempat tinggal selepas rumah dan kenderaan mereka musnah dalam kebakaran.
Dalam kejadian pertama, Rusli Mardin, 57, maut selepas diserang seekor buaya ketika mencuci sebuah bot bersama anaknya di Kampung Batu Putih pada petang 17 Julai.
Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan menerima panggilan kecemasan pada jam 6.31 petang sebelum menggerakkan enam anggota ke lokasi yang terletak kira-kira 42 kilometer dari balai.
Komander Operasi, Jasmani Osni berkata, anak mangsa menyaksikan sendiri bapanya disambar sebelum ditarik ke dasar sungai oleh reptilia berkenaan.
Operasi mencari di permukaan air segera dijalankan, namun terpaksa ditangguhkan pada jam 8.45 malam berikutan keadaan gelap dan jarak penglihatan yang terhad.
Operasi disambung semula pada awal pagi 18 Julai dan pada jam 4.45 pagi, orang awam menemui mayat mangsa kira-kira 500 meter dari lokasi serangan.
Mayat mangsa ditemukan dalam keadaan hampir sempurna, namun terdapat kesan gigitan pada bahagian perut dan sebelah kanan leher.
Anggota bomba kemudian membawa mayat ke rumah mangsa sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi yang turut dibantu empat anggota polis dan lima anggota Rela ditamatkan pada jam 8 pagi.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah rumah kayu dan sebuah kereta musnah dalam kebakaran di Kampung Rancangan Suan Lamba Fasa 1, awal pagi Sabtu.
Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan pada jam 1.03 pagi sebelum tujuh anggota bomba dikerahkan ke lokasi sejauh 30 kilometer.
Komander Operasi, Mohamud Punya berkata, kebakaran berjaya dikawal pada jam 2.09 pagi dan dipadam sepenuhnya pada jam 3.08 pagi menggunakan satu aliran hos sepanjang 200 kaki dengan sumber air daripada jentera bomba.
Tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kejadian itu. Dua anggota polis turut berada di lokasi bagi membantu mengawal lalu lintas dan orang ramai.
Operasi ditamatkan selepas bomba mengesahkan tiada lagi bahaya di lokasi kejadian.-James Leong.

Anggota bomba BBP Kinabatangan menjalankan pemeriksaan di lokasi kebakaran sebuah rumah di Kampung Rancangan Suan Lamba Fasa 1, Kinabatangan, pada Sabtu.