KOTA KINABALU: Program Doa Sayangi Malaysia menjadi wadah menyatukan masyarakat pelbagai agama di Sabah dalam usaha memupuk keharmonian, perpaduan dan kerjasama demi kesejahteraan negeri serta negara.
Presiden Persatuan Bumiputera Kristian Sabah (PBKS), Reverend Jellin Wandak berkata perbezaan agama tidak seharusnya menjadi penghalang untuk masyarakat bersama-sama mendoakan kesejahteraan Sabah dan Malaysia.
“Walaupun kita berbeza fahaman, hati kita tetap satu tujuan dalam berdoa untuk kesejahteraan seluruh warga Sabah khususnya dan Malaysia amnya.
“Keharmonian, perpaduan dan kerjasama semua kaum perlu terus dipupuk serta mendapat perhatian sewajarnya,” katanya ketika merasmikan Program Doa Sayangi Malaysia di Gereja Pelita Cahaya Damai, di sini, pada Sabtu.
Jellin berkata program berkenaan penting sebagai platform menyatukan masyarakat pelbagai agama untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan rakyat selain memperingati ulang tahun kemerdekaan negara.
Beliau berharap program itu dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang bagi menyemarakkan semangat perpaduan serta kepercayaan bahawa Sabah dan Malaysia mampu terus maju, aman dan harmoni.
“Terus berdoa supaya negeri Sabah diberikan keharmonian dan kemakmuran, manakala seluruh Malaysia terus menikmati keharmonian kaum serta perpaduan agar semakin makmur dan diberkati,” katanya.
Program anjuran Lembaga Kebudayaan Negeri Sabah (LKNS) itu akan diteruskan di beberapa rumah ibadat lain sepanjang Ogos ini, termasuk Tokong Peak Nam Tong, Kuil Sri Pasupathinath Alayam dan Gudwara Sahib.-Penerangan.

SIMBOLIK …. Jellin (empat dari kanan) memalu gong sebagai simbolik perasmian Program Doa Sayangi Malaysia.





