Oleh JOHN TAMBANAN
PENAMPANG: Projek naik taraf Jalan Buayan dan Jalan Terian masing-masing mendahului jadual pelaksanaan sebanyak 45 dan 58 hari, kata Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, projek naik taraf Jalan Buayan bernilai RM73.868 juta kini mencapai kemajuan 76.64 peratus dan dijadualkan siap pada Ogos 2027.
Katanya, projek berkenaan masih mengikut jadual asal tanpa sebarang pelanjutan masa (EOT).
Sementara itu, projek naik taraf Jalan Terian bernilai RM99.395 juta mencapai kemajuan 57.83 peratus, iaitu mendahului jadual baharu sebanyak 58 hari selepas diberikan satu EOT sehingga Mei 2028.
“Saya bersama ADUN Moyog, Datuk Donald Mojuntin berpuas hati dengan kemajuan kedua-dua projek ini.
“Kami mewakili rakyat Penampang, khususnya komuniti di kawasan ini, berharap kedua-dua projek dapat diteruskan dengan lancar dan disiapkan mengikut jadual ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan terhadap kedua-dua projek berkenaan, di sini.
Turut menyertai tinjauan itu ialah wakil Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Sabah serta Majlis Perbandaran Penampang.
Ewon berkata, kemajuan semasa kedua-dua projek itu memberikan keyakinan bahawa pelaksanaannya dapat diselesaikan mengikut jadual.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kementerian Kewangan dan KKDW atas penyediaan peruntukan serta pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan.
Katanya, kemudahan jalan raya yang lebih baik itu bakal memberi manfaat kepada kira-kira 3,000 penduduk di Kampung Terian, Kampung Tiku, Kampung Buayan dan Kampung Longkogungan.
Selain itu, tiga sekolah berhampiran iaitu SK Terian, SK Buayan dan SK Longkogungan turut mendapat manfaat daripada projek berkenaan.
“Dengan adanya jalan raya yang lebih baik, komuniti setempat dapat membangunkan tanah mereka untuk kegiatan pertanian dan pelancongan.
“Apabila aktiviti pelancongan dan ekonomi di kawasan ini berkembang, sudah tentu lebih ramai pengunjung akan menggunakan jalan raya ini,” katanya.

Ewon diiringi Donald serta wakil pegawai JKR Sabah, UPEN, KKDW Sabah dan Majlis Perbandaran Penampang ketika meninjau pelaksanaan projek naik taraf Jalan Buayan dan Jalan Terian, Penampang.





