INDUSTRI MADU BANTU TINGKAT PENDAPATAN, KURANGKAN KEMISKINAN LUAR BANDAR

Oleh JOHN TAMBANAN


KUDAT: Industri madu lebah berpotensi menjadi sumber pendapatan baharu kepada masyarakat luar bandar, khususnya di kawasan utara Sabah, sekali gus membantu mengurangkan kemiskinan tegar.
Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berkata, Korporasi Pembangunan Desa (KPD) menerusi Borneo Honey Bee Centre (BHBC) di Sikuati, Kudat, berjaya mengumpulkan kira-kira 30 tan madu asli yang dihasilkan peladang kontrak setakat ini.
Beliau berkata, madu berkenaan merangkumi madu liar dan madu daripada sumber ternakan lebah.
“Potensi industri madu ini cukup baik. Kita melihat usaha KPD dalam membangunkan industri ini di kawasan utara Sabah mampu membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat kampung untuk menjana pendapatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jubli Emas Korporasi Pembangunan Desa dan Hari Terbuka Borneo Honey Bee Centre (BHBC) di Sikuati, di sini, pada Khamis.
Jamawi berkata, beliau telah meminta KPD menyusun semula pelaksanaan program berkenaan bagi membolehkan lebih ramai penduduk kampung menyertai industri pengeluaran madu lebah.
Katanya, usaha itu penting memandangkan beberapa kawasan di utara Sabah, termasuk Pitas dan Kudat, masih berdepan masalah kemiskinan tegar.
Beliau berkata, jaminan pembelian semula madu yang dihasilkan peladang kontrak KPD turut memberikan keyakinan kepada peserta untuk menceburi industri berkenaan.
“Segala madu yang dihasilkan akan dibeli semula oleh KPD. Ini memberikan jaminan kepada peladang bahawa hasil mereka mempunyai pasaran,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Jamawi berkata, kerjasama turut dijalinkan dengan sebuah syarikat pengeluar air terkenal di negara ini bagi menghasilkan produk baharu berasaskan madu keluaran KPD.
Katanya, produk berkenaan dilancarkan pada hari ini dan akan memasuki pasaran secara berperingkat dalam masa terdekat.
Beliau menggalakkan orang ramai menyokong produk berkenaan kerana pembelian mereka secara tidak langsung membantu meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar yang terbabit dalam pengeluaran madu di Pitas, Punggut, Kudat dan Sikuati.
“Marilah kita menyokong industri madu lebah. Pada masa sama, kita membantu lebih ramai masyarakat luar bandar keluar daripada kemiskinan tegar,” katanya.

KAPSYEN FOTO: Jamawi (tiga dari kiri) bersama tetamu jemputan lain merakamkan gambar kenangan selepas menyempurnakan perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KPD.