Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyalurkan sumbangan berjumlah RM185,000 kepada 30 persatuan masyarakat Cina di kawasan Parlimen Penampang menerusi peruntukan khas Ahli Parlimen bagi menyokong pelaksanaan aktiviti dan program komuniti.
Ewon yang juga Timbalan Ketua Menteri III Sabah berkata, inisiatif itu dimulakan sejak tahun lalu sebagai komitmen berterusan membantu persatuan masyarakat melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada ahli dan penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan ulang tahun ke-30 dan pelantikan kepimpinan baharu Penampang Chinese Chamber of Commerce and Industry (PCCCI) di Pacific Sutera, di sini, malam Sabtu.
Pada majlis itu, beliau turut melancarkan laman digital PCCCI serta menyaksikan penyampaian watikah pelantikan Penasihat Kehormat kepada beberapa tokoh korporat.
Ewon yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah mengucapkan tahniah kepada PCCCI di bawah kepimpinan Presidennya, Datuk Victor Kou, atas sumbangan tiga dekad dalam memperkukuh hubungan antara komuniti perniagaan dengan kerajaan.
Beliau berkata, kerajaan negeri mengiktiraf peranan dewan perniagaan dalam pembangunan ekonomi dan perindustrian, termasuk melalui pelantikan wakil industri dalam lembaga pengarah agensi berkaitan kerajaan negeri.
Beliau turut mengajak semua dewan perniagaan di Sabah, tanpa mengira latar belakang, bekerjasama memajukan negeri serta memperluas jaringan perdagangan dan pelaburan ke pasaran antarabangsa, bukan hanya tertumpu kepada China.
Ewon turut menyambut baik cadangan PCCCI membina arca di pejabat persatuan itu yang dijangka menjadi mercu tanda baharu daerah Penampang.
Antara penerima sumbangan ialah PCCCI, Penampang Chinese Welfare Society Sabah, Persatuan Hakka Daerah Penampang, Persatuan Warga Emas Penampang serta pelbagai persatuan kebajikan, pendidikan, keagamaan dan sukan.

Ewon menyampaikan sumbangan sempena sambutan ulang tahun ke-30 dan pelantikan kepimpinan baharu PCCCI di Pacific Sutera, Kota Kinabalu, malam Sabtu.







