Kerjasama radio amatur, agensi bencana perlu diperkukuh – Armizan

Oleh JOHN TAMBANAN
PAPAR: Kerjasama antara komuniti radio amatur dengan agensi kerajaan perlu diperkukuh menerusi latihan dan simulasi berterusan bagi memastikan komunikasi kecemasan kekal berfungsi ketika bencana.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, usaha itu penting untuk mempercepat tindak balas, memperkemas penyelarasan operasi dan memastikan semua pihak dapat bertindak secara bersepadu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Kesiapsiagaan Menghadapi Bencana: Radio Amatur sebagai Komunikasi Alternatif Peringkat Negeri Sabah 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di Papar, pada Sabtu.
Menurutnya, komunikasi radio amatur membolehkan maklumat kecemasan disalurkan tanpa bergantung kepada rangkaian telefon mudah alih atau internet sekiranya berlaku gangguan telekomunikasi.
Program itu menghimpunkan 10 kelab radio amatur di Sabah bersama agensi kerajaan termasuk NADMA, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Antara pengisiannya ialah taklimat pengurusan bencana, latihan pengesanan isyarat, demonstrasi komunikasi jarak jauh dan simulasi komunikasi kecemasan yang menghubungkan Pusat Kawalan Operasi Bencana di Pejabat Daerah Papar, Kampung Kaiduan serta stesen pemancar ulang Bukit Pohumpung.
Armizan berkata, pemilihan Papar mengambil kira pengalaman daerah itu berdepan banjir dan tanah runtuh serta kewujudan komuniti radio amatur yang aktif.
Beliau berkata, ketika bencana banjir dan tanah runtuh pada September 2025, gangguan jalan raya, bekalan elektrik dan perkhidmatan telefon menyukarkan operasi menyelamat di beberapa kawasan terjejas.
Sehubungan itu, frekuensi 7.110 MHz diaktifkan pada 15 September 2025 bagi menyokong komunikasi kecemasan.
Beliau turut menegaskan bahawa kesiapsiagaan bencana perlu disokong pembangunan infrastruktur, aset dan kemudahan operasi bagi melindungi keselamatan serta kesejahteraan rakyat.

Armizan diiringi Juil dan Pengiran Saifuddin serta jemputan lain memotong riben sebagai simbolik perasmian program kesiapsiagaan bencana anjuran MCMC di Papar, pada Sabtu.