14 pelajar ditahan susulan pergaduhan di Tawau

Oleh JAMES LEONG


TAWAU: Seramai 14 pelajar lelaki berusia antara 12 hingga 14 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar di taman permainan Taman Ambar, Jalan Kuhara, di sini.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Rosdi Mat Jusoh, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 6 petang, 6 Oktober lalu.
Katanya, kesemua pelajar itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, semalam, susulan siasatan dan usaha mengenal pasti individu yang terbabit.
“Siasatan awal mendapati kejadian bermula akibat salah faham antara dua pelajar sebelum tercetus pergaduhan yang kemudian membabitkan beberapa pelajar lain.
“Video kejadian yang tular turut membantu polis mengenal pasti individu terbabit serta peranan masing-masing,” katanya dalam kenyataan.
Polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 13 dan basikal berwarna hitam yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes berkenaan.
Rosdi berkata, seorang daripada pelajar yang ditahan adalah warga asing dan gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Katanya, polis masih menjalankan siasatan bagi menentukan penglibatan serta peranan setiap individu yang ditahan, selain mendapatkan rakaman video asal, merakam percakapan saksi dan individu terbabit serta mendapatkan laporan perubatan mangsa.
Polis turut bekerjasama dengan pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau dalam siasatan berkenaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Robiatul Adawiyah Japri di talian 016-9189402 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Rosdi turut memberi peringatan bahawa perbuatan merusuh, menyerang orang lain atau menggunakan sebarang objek sebagai senjata adalah kesalahan serius dan tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati terbabit.
Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya memantau tingkah laku serta pergaulan anak masing-masing, manakala pelajar dinasihatkan menjauhi pergaduhan, provokasi dan kumpulan yang boleh membawa kepada kegiatan jenayah.

Tangkapan skrin pergaduhan membabitkan sekumpulan pelajar di taman permainan Taman Ambar, Tawau.