Cubaan Seludup Minyak Masak Bersubsidi Digagalkan, Tiga Ditahan

Oleh FARDY BUNGGA


SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas ratusan kotak minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup dalam operasi serbuan di sebuah jeti di Sungai Siguntur, Sibugal Besar, di sini, petang semalam.
Dalam operasi kira-kira jam 4.30 petang itu, pasukan operasi turut berjaya menahan tiga individu bagi membantu siasatan lanjut.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, hasil serbuan berkenaan, pihaknya berjaya merampas sejumlah minyak masak bersubsidi pelbagai jenama.
Katanya, pasukan operasi turut merampas sebuah bot dan sebuah lori Isuzu tiga tan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti berkenaan.
“Nilai keseluruhan rampasan termasuk minyak masak dan kenderaan dianggarkan melebihi RM160,469 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, semalam.
Ahmad Amri berkata, sepanjang tempoh Januari hingga 3 Ogos lalu, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan 95 kes di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
Katanya, ia melibatkan 91 tangkapan dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan melebihi RM25 juta.
Sehubungan itu, Ahmad Amri berkata, pihaknya akan terus memperhebat risikan dan operasi penguatkuasaan bagi membanteras ketirisan serta penyeludupan barang kawalan bersubsidi.
“PPM Wilayah 4 Sabah kekal komited dalam memastikan setiap bentuk ketirisan dan penyeludupan dibanteras demi melindungi kepentingan serta hasil negara,” katanya.

Tiga individu ditahan bersama ratusan kotak minyak masak bersubsidi yang dipercayai cuba diseludup ke negara jiran.

Bot yang dipercayai digunakan untuk membawa keluar minyak masak ke negara jiran.