Bayaran interim RM1.5 bilion bukan penyelesaian muktamad tuntutan 40 peratus Sabah – Arthur

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Bayaran khas interim sebanyak RM1.5 bilion kepada Sabah disifatkan sebagai perkembangan positif dalam usaha menangani hak kewangan negeri.
Bagaimanapun, ia bukan penyelesaian muktamad terhadap tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, peningkatan bayaran berkenaan wajar dilihat sebagai langkah sementara ketika rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Sabah bagi mencari formula baharu masih diteruskan.
“Penerimaan Sabah terhadap bayaran ini sama sekali tidak bermaksud kita telah berpuas hati atau menerima penyelesaian ini secara mutlak.
“Pendirian kita kekal teguh bahawa Sabah berhak menuntut hak 40 peratus di bawah kerangka perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, perjuangan berkaitan MA63 bukan sahaja melibatkan hak kewangan, malah turut merangkumi aspek suara dan perwakilan politik Sabah serta Sarawak di Dewan Rakyat.
Katanya, peratusan kerusi Parlimen yang dimiliki kedua-dua negeri berkenaan kini berada pada sekitar 25 hingga 27 peratus dan penstrukturan semula perwakilan perlu dilaksanakan selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia susulan keluarnya Singapura daripada Persekutuan.
Katanya, beliau turut memperjuangkan isu berkenaan di Dewan Rakyat sejak 2018 dan akan terus membawanya di peringkat Kabinet Persekutuan.
“Melalui Majlis Tindakan MA63 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, persetujuan telah dicapai untuk mengkaji penambahan jumlah wakil dari Sabah dan Sarawak.
“Usaha ini pastinya akan melibatkan kajian persempadanan semula serta libat urus bersama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Pensiangan itu berkata, sebarang persempadanan semula khususnya di kawasan pedalaman yang luas seperti Pensiangan tidak boleh ditentukan berdasarkan faktor keluasan geografi semata-mata.
Sebaliknya, katanya, penilaian perlu mengambil kira taburan penduduk, tahap kesukaran dan kemudahan akses ke pusat mengundi serta potensi dan aktiviti penjanaan ekonomi di sesuatu kawasan.
“Sekiranya sesebuah kawasan itu sangat luas tetapi penduduknya sedikit, penilaian khas terhadap cabaran akses dan keperluan pembangunannya mesti diambil kira bagi mewujudkan sistem perwakilan yang benar-benar efektif dan adil untuk komuniti pedalaman,” katanya.
Arthur yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sook menegaskan, kedua-dua aspek berkenaan, iaitu hak kewangan dan hak perwakilan politik, akan terus diperjuangkan sehingga hak Sabah yang termaktub dalam MA63 direalisasikan sepenuhnya.
Katanya, setiap perkembangan positif yang dicapai merupakan hasil rundingan berterusan, namun usaha memperkukuh kedudukan dan hak Sabah masih belum selesai.

Arthur Joseph Kurup