Tema HKHM 2026 dekati tanggungjawab KePKAS

KOTA KINABALU: Tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 (HKHM 2026), “Malaysia MADANI. Kesejahteraan Dinikmati” amat dekat dengan tanggungjawab Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS).
Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata, pelancongan yang berkembang perlu membawa manfaat kepada komuniti, kebudayaan yang dipelihara perlu terus hidup dalam masyarakat, manakala alam sekitar perlu diwariskan dalam keadaan baik kepada generasi akan datang.
Katanya, Sabah memiliki kekayaan budaya luar biasa merangkumi tarian, muzik, bahasa, adat, kraftangan, makanan dan cara hidup masyarakat yang bukan sekadar bahan persembahan, tetapi jambatan menghubungkan rakyat.
“Apabila kita mengenali budaya satu sama lain, kita membina rasa hormat dan apabila rasa hormat tumbuh, perpaduan menjadi lebih kukuh.
“Begitu juga dengan alam sekitar. Gunung, hutan hujan, sungai, pulau dan laut Sabah bukan sahaja aset pelancongan, tetapi sebahagian daripada sumber kehidupan dan identiti kita,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.
Japry yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 berkata, tema itu turut mengajak rakyat melihat pembangunan daripada perspektif manusia, termasuk peluang ekonomi, keharmonian, keselamatan, kemudahan awam dan persekitaran sihat.
Katanya, pelbagai program dirangka sempena sambutan itu, antaranya Majlis Tahlil dan Doa Selamat, pameran sejarah oleh Arkib Negeri Sabah serta Konvoi Kembara Merdeka bagi menyemarakkan patriotisme.
“Penghayatan sejarah penting khususnya kepada generasi muda supaya mereka memahami bahawa Malaysia dibina melalui keputusan, rundingan, pengorbanan dan keberanian generasi terdahulu,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua kementerian, jabatan, agensi, pasukan keselamatan, petugas, sukarelawan serta penggiat seni dan budaya yang menjayakan sambutan.
Japry mengajak rakyat terus mengibarkan Jalur Gemilang, memelihara keharmonian, budaya dan alam sekitar serta memperkukuhkan perpaduan selaras dengan aspirasi Sabah Maju Jaya.

Jafry (kanan) mengiringi Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, berangkat tiba di dewan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sabah 2026 di SICC.