Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Polis sedang giat memburu seorang lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kes pembunuhan yang berlaku di Sulaman Sentral, Kuala Manggatal, di sini, pada Sabtu.
Lelaki yang dikenali sebagai Kusdino Paad, berusia 38 tahun itu dipercayai mempunyai maklumat berkaitan kes pembunuhan Mohd Soberi Bakri, 31, yang maut selepas ditikam ketika cuba menyelamatkan individu lain.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintendan Syed Lot Syed Abdul Rahman berkata, polis memohon kerjasama orang ramai untuk membantu mengesan lelaki terbabit.
Katanya, lelaki terbabit diperlukan bagi membantu siasatan kes bunuh yang kini dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung lokasi lelaki terbabit agar tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, pagi ini.
Selain itu, Syed Lot turut menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan kes berkenaan.
Terdahulu, Mohd Soberi maut selepas ditikam ketika cuba menghalang suspek daripada mengejar seorang penjual makanan di sebuah kafe berhampiran Sulaman Sentral, kira-kira jam 4.30 pagi semalam.
Kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara suspek berusia 38 tahun dengan penjual makanan terbabit sebelum mangsa cuba campur tangan.
Mangsa yang parah dibawa ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 6 pagi ketika mendapatkan rawatan.

DIKEHENDAKI …. Gambar lelaki yang dikehendaki bagi membantu siasatan.

SIASATAN …. Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.







