TIGA REMAJA PEREMPUAN HILANG BERJAYA DIKESAN, SEORANG LAGI MASIH BELUM DITEMUI

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Tiga daripada empat remaja perempuan yang dilaporkan hilang dalam kejadian berasingan di sekitar daerah ini berjaya dikesan dalam keadaan selamat.
Bagaimanapun, seorang lagi mangsa hilang Olivia Jeffrey, 16, masih belum ditemui dan usaha mengesan keberadaannya sedang giat diteruskan oleh pihak polis.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam kenyataan menerusi laman sosial facebook memaklumkan, tiga remaja terbabit iaitu Lorna Palmani, 17, Nadyana Albaser, 16 dan Farha Nabila Abdullah, 14, telah berjaya ditemui dan kes masing-masing diselesaikan.
Bagaimanapun, katanya, seorang lagi remaja, berusia 16 tahun masih belum ditemui dan usaha mengesannya akan diteruskan oleh pihak polis.
“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan keberadaan Olivia diminta tampil membantu siasatan.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sehubungan itu, IPD Kota Kinabalu turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada orang ramai atas kerjasama serta perkongsian maklumat yang membantu usaha mengesan remaja-remaja terbabit.
“Orang ramai juga diminta terus menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu pihak polis dalam usaha mengesan Olivia,” katanya.

Olivia Jeffrey Masih Gagal Ditemui