Program kemasyarakatan wajar diteruskan sepanjang tahun – Fairuz

KOTA BELUD: Program kemasyarakatan anjuran agensi kerajaan wajar diteruskan sepanjang tahun dan tidak hanya tertumpu kepada sambutan Bulan Kebangsaan atau Hari Sabah.
Pembantu Menteri Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Fairuz Renddan berkata, penganjuran program seumpama itu penting bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan masyarakat, selain memperkukuh semangat perpaduan dan keharmonian komuniti setempat.
“Diharapkan Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah dan agensi kerajaan dapat terus menganjurkan program seperti ini pada hari-hari lain yang bersesuaian, bukan hanya pada waktu atau musim tertentu.
“Program seperti ini memberi peluang kepada masyarakat untuk berinteraksi dan mengeratkan hubungan antara komuniti dengan pihak kerajaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Doa Selamat sempena sambutan Maulidur Rasul dan Bulan Kebangsaan di Masjid Jamek Kampung Penampang, di sini, Selasa.
Fairuz berkata, usaha mendekati masyarakat secara berterusan penting bagi memastikan hubungan antara kerajaan dengan rakyat terus diperkukuh, selain memberi ruang kepada masyarakat menyampaikan pandangan serta keperluan setempat.
Beliau turut berharap kemudahan di Masjid Jamek Kampung Penampang dapat terus ditambah baik, termasuk memperluas ruang masjid dan menyediakan kawasan parkir yang lebih selesa bagi memenuhi keperluan serta keselesaan masyarakat.
Terdahulu, bacaan doa selamat sempena Maulidur Rasul diadakan sebelum penyerahan zakat wakalah kepada Masjid Jamek Kampung Penampang yang disampaikan Pengurus Pemasaran dan Hubungan Awam Telekom Malaysia (TM) Sabah, Nurul Izza Ripin, yang mewakili BAKIT TM Sabah.
Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Negeri Sabah, Jainisah Mohd Noor; Penolong Pegawai Daerah, Abd Wahab Sidek; serta Pengerusi Masjid Jamek Kampung Penampang, Mohd Ishak Abd Rahman.-Penerangan

SUMBANGAN: Nurul (empat dari kanan) menyampaikan zakat wakalah kepada Mohd Ishak (enam dari kanan).