Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak perlu segera dilaksana

Oleh JOHN TAMBANAN


TAMBUNAN: Pengumuman penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu diterjemahkan kepada tindakan serta pelaksanaan sebenar, bukan sekadar gimik politik, kata Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan, Datuk Victor P. Paut.
Beliau berkata, pengumuman berkenaan sememangnya dinanti-nantikan rakyat Sabah dan Sarawak, terutama selepas sekian lama isu itu menjadi antara tuntutan berkaitan kedudukan kedua-dua wilayah dalam Persekutuan.
Katanya, penambahan kerusi Parlimen perlu dilihat berdasarkan sejarah pembentukan Malaysia serta semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi antara asas penting kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan.
“Ini satu pengumuman yang kita tunggu-tunggu. Sebenarnya, penambahan kerusi itu kalau dikaji daripada sejarah MA63, apabila Singapura dikeluarkan daripada Malaysia pada 1965, kuota Singapura itu sepatutnya dibahagikan kepada Sabah dan Sarawak.
“Ini kerana satu pertiga daripada kerusi itu adalah untuk Sabah dan Sarawak, manakala satu pertiga lagi dipegang oleh Singapura,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Kursus Pertanian Pintar anjuran Sawit Kinabalu, di sini, Sabtu lalu.
Mengulas lanjut, Victor berkata, selepas Singapura keluar daripada Malaysia, isu pembahagian semula kerusi berkenaan sewajarnya diberi perhatian bagi memastikan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Parlimen lebih mencerminkan sejarah serta semangat pembentukan Malaysia.
Beliau berkata, tempoh lebih enam dekad menunggu perkembangan berkenaan menunjukkan bahawa tuntutan itu bukan perkara baharu, sebaliknya sudah lama menjadi perhatian rakyat Sabah dan Sarawak.
Pada masa sama, katanya, rakyat Sabah tidak mahu pengumuman berkenaan berakhir sebagai kenyataan politik tanpa tindakan susulan yang jelas.
“Sudah sampai masanya setelah lebih kurang 61 tahun kita menunggu saat ini. Kita berharap jangan hanya janji, kita mahu ia dilaksanakan.
“Itulah yang rakyat Sabah tunggu-tunggu dan jangan lupa juga tuntutan 40 peratus kita.
“Kita juga tidak mahu ini sebagai satu gimik dan berharap PMX (Datuk Seri Anwar Ibrahim) akan menunaikan janjinya kerana bukan saja kita mahu, semua rakyat Sabah mahu kerana perkara itu adalah dalam MA63,” katanya.
Sehubungan itu, Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera yakin pelaksanaan penambahan kerusi Parlimen berkenaan kelak dapat memastikan suara Sabah dan Sarawak terus mendapat tempat sewajarnya dalam proses membuat keputusan di peringkat Persekutuan.

Victor ketika ditemui media berhubung penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak selepas merasmikan Kursus Pertanian Pintar anjuran Sawit Kinabalu di Tambunan, Sabtu lalu.