Hajiji Ajak Rakyat Malaysia Terus Pelihara Keamanan

KUCHING: Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, mengajak rakyat Malaysia terus memelihara keamanan, perpaduan dan keharmonian serta menjadikan Hari Malaysia sebagai titik tolak untuk bekerja lebih gigih demi kemajuan dan kemakmuran bersama.
Beliau berkata, semangat perpaduan dan saling menghormati antara kaum terus diberi keutamaan di Sabah, dengan kepelbagaian tradisi, budaya dan agama menjadi kekuatan yang menyatukan rakyat.
“Marilah kita terus memupuk semangat muafakat, saling menghormati dan bekerjasama demi sebuah Malaysia yang aman, stabil dan sejahtera,” katanya pada sambutan Hari Malaysia ke-63 peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Rabu.
Sementara itu, pada sambutan Hari Malaysia peringkat negeri Sabah di Kota Kinabalu, Hajiji menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) melalui saluran perlembagaan, rundingan dan kerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Kerja Raya dan Utiliti, Datuk Seri Panglima Dr Joachim Gunsalam.
Menurut Hajiji, Hari Malaysia memberi ruang kepada rakyat menghayati kedudukan Sabah dalam Persekutuan, khususnya berkaitan MA63 dan Perlembagaan Persekutuan.
“Memperjuangkan hak Sabah bukan bererti menjauhkan Sabah daripada Malaysia, sebaliknya usaha memperkukuhkan asas Persekutuan supaya setiap rakan berasa dihormati dan setiap rakyat memperoleh manfaat daripada sebuah negara yang stabil dan makmur,” katanya.
Beliau turut menyeru rakyat menolak fitnah dan sentimen yang memecah-belahkan, khususnya dalam era media sosial, serta menggunakan teknologi untuk mengeratkan hubungan masyarakat.
Katanya, generasi muda mempunyai tanggungjawab besar untuk meneruskan semangat Hari Malaysia dengan membekalkan diri dengan ilmu dan kemahiran, selain mengenali sejarah serta menghargai warisan negara.
Hajiji berkata tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026, “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati”, membawa aspirasi supaya hasil pembangunan dan kemakmuran dapat dirasai secara adil dan inklusif.
Bagi Sabah, katanya, kesejahteraan turut merangkumi usaha merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar, meningkatkan ketersambungan serta memperluas peluang ekonomi.
“Perpaduan bukan sekadar slogan, tetapi prasyarat kepada kestabilan, pelaburan, pembangunan dan masa depan anak-anak kita,” katanya.

PENUH SIMBOLIK …. Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkenan memotong kek pulut kuning sempena sambutan Hari Malaysia 2026, sambil disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor; dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.