Tradisi Miyolon Ensambiyan Aidilfitri wajar diperkasa

KOTA KINABALU: Tradisi Miyolon Ensambiyan Aidilfitri yang diadakan di Kampung Darau mempunyai nilai budaya yang sangat tinggi serta melambangkan keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sabah.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, program berkenaan wajar diperluaskan penganjurannya ke skala yang lebih besar dan dimasukkan dalam kalender pelancongan negeri Sabah
“Tradisi yang diangkat semula melalui penyelidikan Universiti Malaysia Sabah (UMS) ini bukan sahaja mencerminkan warisan nenek moyang.
“Tetapi juga menjadi simbol perpaduan masyarakat yang wajar dipelihara dan diwariskan kepada generasi muda terutama sekali bagi penduduk Sepanggar,” katanya pada program Tamu Miyolon Ensambiyan Aidilfitri 2026 di Kg. Darau Laut, di sini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, penganjuran program itu setiap tahun, khususnya pada hari kedua Aidilfitri, turut memperlihatkan komitmen tinggi masyarakat setempat dalam memastikan tradisi ini terus hidup dan dikenali lebih luas.
Sehubungan itu katanya, usaha memperluaskan penganjuran akan dibincangkan bersama UMS serta Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar bagi melihat potensi tradisi itu sebagai salah satu produk pelancongan negeri.

TINJAU …. Mustapha semasa meninjau pada program berkenaan.