LAHAD DATU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun dan merampas 2,000 gram dadah jenis methamphetamine atau syabu bernilai kira-kira RM94,000 dalam operasi berkaitan dadah di daerah ini, semalam.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, ACP Dzulbahrin Haji Ismail berkata, operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Lahad Datu di kawasan parkir Darvel Bay Plaza, Jalan Teratai, pada 25 Ogos.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek membawa kepada penemuan dadah berkenaan yang dipercayai untuk tujuan pengedaran.
“Selain dadah, polis turut merampas sebuah telefon bimbit iPhone 14 yang dipercayai digunakan suspek bagi melancarkan kegiatan pengedaran dadah.
“Dua kenderaan turut disita bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Dzulbahrin berkata, ujian saringan air kencing awal terhadap suspek didapati negatif dadah.
Bagaimanapun, suspek kini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan sumber bekalan dadah, mengenal pasti modus operandi suspek serta membongkar rangkaian sindiket yang mungkin terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Beliau menegaskan BSJN Lahad Datu kekal komited dan tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran serta penyalahgunaan dadah di daerah itu.

RAMPASAN …. Bahan kristal dipercayai syabu yang dirampas BSJN Lahad Datu pada Selasa.






