Anak Muda Wajar Diberi Ruang Dalam Lantikan Politik

TAWAU: Ketua Bahagian Parti PCS N.66 Bugaya Semporna, Omar Haji Abu Bakar, merakamkan penghargaan kepada pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atas langkah tepat melibatkan anak muda dalam lantikan politik.
Beliau menyatakan demikian susulan perlantikan Ketua Pemuda PCS N.66 Bugaya Semporna, Khairul Ariffin Omar, sebagai Ahli Majlis Daerah Semporna bagi sesi 2026–2027.
Majlis angkat sumpah berlangsung di Borneo Royal Hotel, Tawau, dan dirasmikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan Sabah, Datuk Dr. Haji Mohd Arifin Datuk Haji Mohd Arif.
Khairul Ariffin, 25, adalah graduan Ijazah Sarjana Muda UiTM Shah Alam dan kini mencatat sejarah sebagai antara lantikan ahli majlis termuda di daerah Semporna.
Omar menegaskan bahawa penglibatan anak muda dalam jawatan politik adalah langkah penting bagi memastikan kesinambungan kepimpinan.
“Jangan dilihat anak muda sebagai tidak layak hanya kerana kurang pengalaman. Kita harus memberi ruang awal kepada mereka untuk memikul tanggungjawab pembangunan daerah, bangsa, dan agama,” katanya.
Dalam masa sama, Omar menekankan perlunya mekanisme lantikan politik dikaji semula agar lebih telus dan berlandaskan prinsip Sabah Maju Jaya (SMJ).
Menurut beliau, semua calon lantikan politik yang dicadangkan oleh ketua bahagian parti hendaklah melalui proses temuduga rasmi oleh pimpinan pusat, sama seperti pengambilan kakitangan kerajaan melalui SPN atau SPA.
“Jangan terus-terus diterima. Kita mesti pastikan calon benar-benar layak dan berwibawa,” tegasnya.
Omar turut menyenaraikan jawatan lantikan politik yang perlu melalui saringan ketat, termasuk Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM), Ketua Daerah,Ketua Anak Negeri (NC), Wakil Ketua Anak Negeri (WKN), Ketua Kampung dan Ahli Majlis Daerah.
Beliau menambah bahawa langkah ini penting untuk memastikan lantikan politik benar-benar menyumbang kepada pembangunan negeri dan selaras dengan slogan Sabah Maju Jaya, yang menekankan integriti, kelayakan, dan kecekapan dalam pentadbiran
Omar turut merakamkan ucapan terima kasih kepada, Ketua Menteri Sabah, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Presiden PCS, Timbalan Presiden PCS, Setiausaha Agung PCS dan Naib Presiden PCS.
“Semoga usaha ini terus berjaya dan memberi manfaat kepada rakyat. Sabah Maju Jaya,” kata Omar.

TAHNIAH… Khairul Ariffin menerima watikah pelantikan daripada Arifin.