TUARAN: Gugusan Bahasa Inggeris, Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB), Universiti Malaysia Sabah (UMS) telah menganjurkan Program Khidmat Masyarakat bertajuk ‘SMALL ACTIONS, BIG SMILES: A University–School Corporate Social Responsibility Engagement Programme’ di Sekolah Rendah Advent Tenghilan, Tuaran, baru baru ini.
Program yang diketuai oleh Dr. Anna Lynn Abu Bakar selaku Ketua Projek dan diselaraskan oleh Bernadette Tobi selaku Pengarah Program itu melibatkan penyertaan 16 orang pensyarah dan guru bahasa daripada Gugusan Bahasa Inggeris, PPIB sebagai sukarelawan.
Program tersebut turut mendapat kerjasama erat daripada Guru Besar Sekolah Rendah Advent Tenghilan, Lenliy Misik, bersama barisan guru sekolah dalam memastikan kelancaran pelaksanaannya.
Seramai 40 orang murid sekolah rendah dan 19 orang murid prasekolah telah mengambil bahagian dalam program ini yang menampilkan pelbagai aktiviti pembelajaran Bahasa Inggeris secara interaktif dan menyeronokkan.
Antara aktiviti yang dijalankan termasuk tiga stesen pembelajaran, iaitu Show & Tell, Draw Together!, dan Act the Words, serta aktiviti Reading and Colouring Activity with the Preschoolers yang memberi peluang kepada murid-murid prasekolah menikmati sesi pembacaan cerita dan aktiviti mewarna secara interaktif.
Murid-murid sekolah rendah pula dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan bergerak secara bergilir ke setiap stesen pembelajaran sepanjang program berlangsung.
Dalam ucapan perasmiannya, Dr. Anna Lynn Abu Bakar menekankan bahawa pembelajaran Bahasa Inggeris bukan sekadar untuk menguasai tatabahasa atau menghadapi peperiksaan, tetapi juga merupakan medium untuk membina keyakinan diri, menggalakkan keberanian mencuba perkara baharu serta belajar daripada kesilapan.
Beliau turut menggalakkan murid-murid agar tidak takut untuk bertanya, mencuba dan menikmati proses pembelajaran kerana setiap pengalaman merupakan satu langkah ke arah perkembangan diri.
Beliau berharap program seperti ini dapat mengeratkan hubungan kerjasama antara Universiti Malaysia Sabah dengan Sekolah Rendah Advent Tenghilan, di samping memberi inspirasi kepada murid-murid untuk terus belajar dan berusaha mencapai cita-cita mereka.
Guru Besar Sekolah Rendah Advent Tenghilan, Lenliy Misik, turut menyampaikan ucapan alu-aluan kepada rombongan PPIB, UMS serta merakamkan penghargaan atas kesudian pihak universiti melaksanakan program khidmat masyarakat di sekolah tersebut.
Melalui penganjuran program ini, PPIB, UMS terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial universiti melalui perkongsian ilmu dan kepakaran bersama komuniti.
Inisiatif seperti ini bukan sahaja memberi impak positif kepada pembangunan pendidikan, malah memperkukuh hubungan kerjasama antara universiti dan sekolah, sekali gus mencerminkan peranan UMS sebagai rakan strategik dalam pembangunan komuniti dan modal insan.

ALBUM …. Pensyarah dan guru bahasa Unit Bahasa Inggeris, PPIB, Universiti Malaysia Sabah bergambar bersama Guru Besar, guru-guru dan murid-murid Sekolah Rendah Advent Tenghilan selepas selesai program.



