KOTA KINABALU: Bekalan gas Sabah dijangka meningkat hampir dua kali ganda daripada 700 juta kaki padu standard sehari (MMscfd) kepada 1,350 MMscfd menjelang 2030, didorong tujuh projek pembangunan luar pesisir membabitkan syarikat minyak antarabangsa dan tempatan dalam tempoh empat tahun akan datang.
Projek berkenaan, termasuk pembangunan empat medan gas baharu, adalah sebahagian rancangan jangka panjang negeri bagi memenuhi peningkatan permintaan tenaga dan sektor perindustrian.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, berkata perkembangan itu membuktikan kerjasama erat PETRONAS dan Kerajaan Negeri dalam membangunkan sumber minyak dan gas Sabah.
“Strategi ini menyediakan pelan pelaksanaan yang jelas bagi menjamin bekalan gas yang diperlukan untuk menyokong aspirasi perindustrian Sabah,” katanya selepas menyaksikan penyerahan laporan daripada SMJ Energy dan PETRONAS kepada Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zainudin Aman, di Hotel Hilton.
Laporan Pelan Bekalan dan Penghantaran Gas Jangka Panjang 2025 serta Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah menggariskan strategi penghantaran bekalan gas susulan kajian Pasukan Petugas Bersama Strategi Gas Sabah.
Permintaan tambahan dijangka didorong loji janakuasa baharu dan kemudahan gas asli cecair terapung ketiga PETRONAS (PFLNG3), selain pelaburan baharu sektor pembuatan di koridor Pantai Barat.
Sementara itu, Pelan Pembangunan Gas Pantai Timur Sabah mengenal pasti kelompok medan gas Mutiara di luar pesisir Sandakan berpotensi membekalkan gas kepada loji janakuasa baharu di Taman Perindustrian Sawit Kinabalu Sandakan.
Langkah itu turut membolehkan stesen janakuasa Sabah Electricity di Batu Sapi beralih daripada diesel kepada turbin berasaskan gas.
Hajiji berkata, buat pertama kali Pantai Timur berpotensi menjana elektrik berasaskan gas sendiri tanpa bergantung kepada bekalan dari Pantai Barat, sekali gus membuka peluang pembangunan industri berasaskan gas di kawasan berkenaan.

TAKLIMAT: Hajiji menerima taklimat Stephen Pang mengenai laporan Pelan Pembangunan Gas Sabah.

PENYERAHAN: Hajiji menyaksikan Bacho Pilong (tiga kiri) menyerahkan laporan kepada Zainudin Aman (dua kanan). Turut hadir Masidi Manjun (tiga kanan), Dionysia Kibat (dua kiri) dan Albert Lo (kiri).







