Pelantikan GLC perlu berasaskan kompetensi dan kelayakan

Oleh Wu Vuide


KOTA KINABALU: Pelantikan kepimpinan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Sabah mesti dibuat berdasarkan tahap kompetensi, kelayakan dan merit bagi memastikan syarikat terbabit benar-benar mampu menerajui serta memacu pembangunan industri di negeri ini, kata Datuk Dr Mohd Yaakub Johari.
Beliau berkata, GLC Sabah pada asalnya ditubuhkan untuk memacu perindustrian dan mengagihkan pembangunan ekonomi secara lebih seimbang ke seluruh negeri, namun kelemahan tadbir urus, pengawasan yang longgar serta transformasi ekonomi yang perlahan sebelum ini menyebabkan banyak GLC gagal mencapai matlamat asal penubuhannya.
Yaakub yang juga Pengerusi University College Sabah Foundation (UCSF) berkata, sejarah penubuhan GLC Sabah bermula sejak era pentadbiran bekas Ketua Menteri, Tan Sri Harris Salleh.
Menurutnya, GLC diwujudkan sebagai pemangkin pembangunan bagi menerajui industri strategik seperti minyak dan gas, pulpa dan kertas serta sektor berasaskan sumber lain.
“Dengan beroperasi lebih fleksibel berbanding jabatan kerajaan, GLC sepatutnya mampu menarik pembiayaan swasta, mewujudkan peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi, khususnya di kawasan kurang membangun,” katanya ketika menjadi tetamu dalam satu siar raya podcast.
Bagaimanapun, beliau berkata prestasi GLC Sabah sepanjang tempoh itu adalah tidak seimbang.
“Ada GLC yang membuktikan model ini berkesan, namun ada juga yang menjadi contoh kegagalan akibat kelemahan tadbir urus dan pengawasan,” katanya.
Beliau mencontohkan Sabah Energy Corporation Sdn Bhd (SEC) sebagai antara GLC yang berjaya, berupaya menjana dividen kepada kerajaan negeri serta kekal relevan dalam pembangunan sumber tenaga.
Sebaliknya, katanya, Sabah Forest Industries Sdn Bhd (SFI) yang suatu ketika dahulu diharapkan menjadi tonggak industri pulpa dan kertas, runtuh akibat beban hutang dan ketidakcekapan operasi sebelum menghentikan operasi pada 2016.
Menurut Yaakub, kejatuhan SFI berpunca daripada pengurusan kewangan yang lemah, tadbir urus korporat tidak berkesan, ketidakcekapan operasi, infrastruktur usang, kemerosotan pasaran serta isu tanah yang tidak diselesaikan.
Beliau menegaskan pemisahan peranan yang jelas amat penting dalam memastikan tadbir urus GLC berkesan, dengan pengerusi bertanggungjawab memimpin lembaga pengarah, memastikan akauntabiliti serta mewakili lembaga.
Pada masa sama, katanya, lembaga pengarah sebagai badan pembuat keputusan tertinggi bertanggungjawab menentukan hala tuju, dasar, strategi, pengawasan dan pematuhan peraturan, manakala ketua pegawai eksekutif (CEO) pula perlu melaksanakan keputusan lembaga dan mengurus operasi harian selaras dasar yang diluluskan.
Walaupun mengakui pelantikan ahli lembaga sering dipengaruhi pertimbangan politik, beliau berkata penglibatan politik bukan satu masalah sekiranya individu dilantik mempunyai kelayakan, pengalaman serta keseimbangan kemahiran dan kepelbagaian.
“Masalah timbul apabila pelantikan dibuat semata-mata atas dasar politik tanpa mengambil kira merit. Ini menjejaskan profesionalisme, kepercayaan awam dan prestasi jangka panjang,” katanya.
Menurut Yaakub, usaha menghidupkan semula GLC yang berprestasi lemah memerlukan reformasi menyeluruh, bukan pendekatan bersifat tampalan.
Katanya, penstrukturan semula perlu bermula dengan mengenal pasti punca kegagalan, sama ada faktor luaran seperti fragmentasi ekonomi global, gangguan teknologi dan ketidaktentuan makroekonomi, atau faktor dalaman termasuk kelemahan tadbir urus, ketidakcekapan operasi, salah urus kewangan dan kekurangan profesionalisme.
Beliau mengalu-alukan langkah Ketua Menteri memperkenalkan pemantauan prestasi berasaskan KPI dan pelaporan suku tahunan, termasuk kemungkinan menutup entiti yang terus gagal mencatat prestasi memuaskan.
“Tiada lagi pendekatan ‘business as usual’. Reformasi mesti dilaksanakan secara menyeluruh merangkumi profesionalisme kepimpinan, tadbir urus, penstrukturan kewangan, pemulihan operasi, pengurusan risiko, pendigitalan dan pematuhan ESG,” katanya.
Antara cadangan utama beliau ialah penubuhan jawatankuasa pemantauan GLC bebas peringkat tinggi di bawah Pejabat Ketua Menteri dengan penglibatan Kementerian Kewangan.
Katanya, jawatankuasa itu boleh memantau prestasi, mengenal pasti jurang tadbir urus, mengurangkan pertindihan, meningkatkan sinergi serta mengesyorkan tindakan pembetulan.
Beliau turut mencadangkan pelaksanaan Pelan Transformasi GLC Sabah yang selari dengan kerangka ekonomi Madani, SMJ 2.0 dan semangat MA63 sebagai panduan strategik jangka panjang.
Pelan itu, katanya, perlu merangkumi garis panduan standard berkaitan komposisi lembaga, tempoh perkhidmatan, tanggungjawab dan imbuhan, selain usaha menempatkan lebih ramai rakyat Sabah dalam kepimpinan GLC nasional di peringkat lembaga dan pengurusan tertinggi.
Yaakub berkata, GLC juga wajar meneroka sektor pertumbuhan strategik seperti tenaga boleh diperbaharui, penjagaan kesihatan dan bioteknologi, ekonomi digital, kecerdasan buatan, semikonduktor, logistik, maritim dan aeroangkasa, tanpa menyaingi atau menenggelamkan sektor swasta.
Bagi melindungi kepentingan awam, beliau menyokong saringan mandatori semua usaha sama GLC oleh Pejabat Peguam Besar Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum mendapat kelulusan Kabinet.
Katanya, walaupun mengurus aset awam bernilai besar, GLC Sabah ketika ini tidak diwajibkan membentangkan laporan kewangan dan prestasi secara berkala di Dewan Undangan Negeri.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan tahap ketelusan diperkukuh menerusi papan pemuka prestasi GLC dalam talian yang boleh diakses awam di bawah Pejabat Ketua Menteri atau Kementerian Kewangan.
Mengenai penyenaraian GLC di bursa saham, beliau berkata langkah itu boleh meningkatkan tadbir urus, ketelusan, akses kepada modal dan keyakinan pelabur, namun tidak sesuai untuk semua entiti, khususnya yang terlibat dalam sektor sensitif atau berkaitan keselamatan.
“Penyenaraian perlu dilaksanakan secara terpilih, terutama bagi tujuan pengumpulan dana, usaha sama atau penggabungan dan pengambilalihan,” katanya.

Dr Mohd Yaakub Johari.