RM7.5 Juta Untuk Projek Pertanian dan Agromakanan di Sabah.


Fardy Bungga

asiatimesrp@hotmail.com

KOTA KINABALU: RM7.5 juta diperuntukan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) bagi pelaksanaan projek pertanian dan agromakanan di Sabah.

Usaha itu dijalankan bagi merangsangkan sumber ekonomi golongan petani dan peladang yang terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19 sejak beberapa bulan lalu.

Timbalan Ketua Pengarah LPP, Norlizah Mohamad berkata, peruntukan berkenaan adalah sebahagian daripada RM70 juta Pakej Rangsangan Ekonomi bagi pelaksanaan program seperti naikraraf jentera dan menambah baik logistik dan mobilisasi bahan makanan.

Katanya, sebagai pecahan, sebanyak RM330,000 diperuntukkan untuk menaik taraf jentera pertanian terutama sektor sawah padi bagi memastikan ia lebih efisien.

“RM4.745 juta pula diperuntukkan bagi dana khas projek agromakanan yang dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 261 petani.

“Selain itu, LPP juga mempunyai peruntukan kepada B40 iaitu mereka yang berpendapatan di bawah RM4,300,” katanya pada sidang media di pejabat LPP Sabah, di sini, semalam.

Turut hadir, Pengarah LPP Sabah, Anita Misuari.

Norlizah berkata, ini bermaksud bagi Sabah, sejumlah RM1.5 juta diperuntukkan untuk 100 petani dan peladang bagi melaksanakan projek tanaman kontan.

Katanya, pihaknya menjangkakan projek tanaman kontan itu mampu meningkatkan pendapatan petani dan peladang sehingga mencecah RM1,000 hingga RM1,200 seorang.

“Kita akan membincangkan hala tuju pelaksanaan projek dan memberi panduan supaya peladang yang mendapat manfaat peruntukan diberikan kerajaan.

“Ia bagi menangani masalah kekurangan pendapatan dan beban ditanggung berikutan COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Norlizah berkata, LPP turut menyediakan peruntukan sebanyak RM996,500 bagi program peningkatan bahan makanan di Sabah.

Katanya, ia termasuk usaha meningkatkan kapasiti pusat pengumpulan hasil supaya produk petani dan peladang dapat dijual di pasaran.

Tamat