
Kota Kinabalu: Proses semakan kehakiman terhadap pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang difailkan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dan 32 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah tidak akan menghalang Pilihan Raya Negeri (PRN) daripada diteruskan.
Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Dr Azmi Sharom berkata, setakat ini, SPR belum menerima sebarang arahan daripada pihak mahkamah.
Justeru itu katanya, SPR akan meneruskan tanggungjawab mereka untuk menjalankan proses pilihan raya di negeri ini yang dijadualkan berlangsung 26 September depan.
“Setakat ini SPR belum mendapat apa-apa arahan daripada mahkamah, jadi kita akan terus dengan persediaan untuk pilihan raya ini.
“Sehingga kita dapat arahan daripada mahkamah, maka kita akan terus dengan tanggungjawab untuk mengadakan pilihan raya negeri,” katanya pada sidang media yang diadakan di Magellan Sutera, di sini, hari ini.
Azmi berkata, tarikh PRU DUN Sabah Ke-16 itu sudah ditetapkan bermula penamaan calon pada 12 September sebelum hari pengundian ditetapkan pada 26 September depan.
Katanya, SPR juga menetapkan 22 September hari mengundi awal bagi PRN yang dijangkakan menelan peruntukan sebanyak RM183 juta membabitkan 73 kerusi DUN dipertandingkan.
“Mengikut rekod terkini, PRN kali ini akan membabitkan Seramai 1,124,598 pengundi yang terdiri daripada 1,103,646 pengundi biasa, 9,448 anggota tentera dan pasangan, 11,424 polis dan 81 pengundi tidak hadir.
“PRU DUN Sabah Ke-16 juga akan menggunakan beberapa kaedah penambahbaikan baharu antaranya memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari 7.30 pagi hingga 5 petang.
Jelas beliau, penambahbaikan turut melibatkan saluran khusus pengundi 60 tahun ke atas serta pengundi orang kurang upaya (OKU) akan mengundi di saluran satu.
“SPR mensasarkan 70 peratus akan keluar mengundi. SPR juga memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya keluar mengundi,” katanya.
tamat






