Pampasan akan Dibayar.

KOTA KINABALU: Pampasan untuk tanah yang digunakan bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Tawau dan Sungai Lembangan Tawau fasa 1 akan dibayar kepada pemilik tanah.

Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah I, Datuk James Ratib berkata, bayaran pampasan itu akan dibayar mengikut struktur dan nilai pasaran yang ditetapkan.

Katanya, kerajaan tidak akan sewenang-wenangnya mengambil tanah rakyat dan pemilik tanah perlu diberikan pampasan dengan nilai yang munasabah.

“Pembayaran pampasan tanah yang akan dibuat adalah mengikut undang-undang sedia ada.

“Tidak ada perundangan yang boleh memperuntukkan pengambilan tanah atau penggunaan harta secara paksa tanpa pampasan yang setimpal,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

James berkata, setakat ini semua projek berkenaan mempunyai kekangan disebabkan kerja-kerja pengambilan tanah yang belum lagi dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang mencari jalan yang terbaik untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah.

“Saya juga difaham hasil perbincangan baru-baru ini pemilik tanah juga bersetuju menerima pampasan yang ditawarkan oleh kerajaan,” katanya

James berkata projek RTB berkenaan merupakan usaha bagi mengurangkan risiko banjir di daerah Tawau.

Tamat