BELURAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) mengajak rakyat berbilang kaum dan agama supaya bersama-sama menyemarakkan jalur gemilang sempena bulan kemerdekaan ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Dr. Jamaluddin Mohd Ali berkata, ia bagi mengambarkan perasaan cinta terhadap keamanan dan keharmonian negara ini
“Jalur gemilang perlu dikibarkan sebagai menghargai perjuangan dan solidariti para perajurit negara.
“Pejuang negara kita berkorban jiwa dan raga semata-mata untuk membebaskan negara daripada cengkaman penjajah sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan kempen kibar jalur gemilang di Pusat Pemeriksaan Daratan (RCP) Sapi Nangoh, di sini, hari ini.
Jamaluddin berkata, tanpa pengorbanan dan perjuangan mereka yang terdahulu, sudah tentu kita tidak akan dapat menikmati hidup aman damai hari ini.
Katanya, semangat ini perlu dizahirkan sebagai tanda sokongan kita kepada kepimpinan negara dan barisan hadapan kita yang sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19 yang meragut banyak nyawa.
“Kita sebagai rakyat Malaysia yang cintakan negara, kita perlu bersatu padu dan bersama-sama dengan barisan kepimpinan negara memerangi pandemik ini.
“Kita menterjemahkan solidariti dengan mengambil langkah-langkah pencegahan termasuk mematuhi SOP yang ditetapkan,” katanya.
Jamaluddin berkata, ia termasuk sentiasa menjaga jarak, menjaga kebersihan diri, memakai alat pelitup muka dan tidak mengunjungi tempat-tempat sesak.
“Kejayaan negara dalam memerangi wabak covid-19 ini, banyak bergantung kepada sokongan dan kerjasama rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Tamat





-218x150.jpg)
